HYUNJIN pernah dikaitkan kontroversi mengenai buli di sekolah pada 2021.
HYUNJIN pernah dikaitkan kontroversi mengenai buli di sekolah pada 2021.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Kini hangat diperkatakan anggota Stray Kids, Hyunjin sekali lagi terpalit kontroversi. Dia didakwa individu yang terkait dengan kisah mengadakan hubungan intim bersama seorang pempengaruh.

Mengikut rekod, ini kali ketiga namanya dicalar dengan berita kurang menyenangkan. Ia sekali gus membimbangkan peminat apatah lagi kesnya mampu mencalar dan mencemar reputasi kumpulan itu.

Disebabkan itu, peminat yang ambil berat menuntut Hyunjin dibuang saja dari Stray Kids daripada terus menjatuhkan namanya. Bukan setakat di internet, malah peminat turut memprotes di luar.

Ia termasuk menghantar trak ke kawasan bangunan agensi pengurusannya, JYP Entertainment. Pelbagai mesej ditampal pada trak itu sebagai bukti peminat serius memprotes mengenai kes terbaharu Hyunjin.

"Hwang Hyunjin sila berambus. Siapa yang mencetus imej pembuli kepada Stray Kids? Kalau kamu tidak mampu perbetulkan, buang saja. Sudah-sudahlah menempel dalam kumpulan itu dan berambus.

"Ini adalah kontroversi kali ketiga. Semua tiga itu adalah mengenai Hwang Hyunjin. Apa lagi kriteria JYP mahukan untuk tendang dia keluar," itu antara mesejnya.

Bagaimanapun, ramai juga menyelar tindakan protes berkenaan apatah lagi kesahihan dakwaan membabitkan Hyunjin itu belum diketahui. Ada yang sarankan agensinya perlu bertindak tegas.

"Agensi perlu failkan tuntutan undang-undang. Dakwaan itu cuma khabar angin, tapi ada juga segelintir orang tewas dengan kebodohan sendiri," antara komen netizen yang mempertahankannya.

Ada juga menyalahkan agensi terbabit yang didakwa membuat khabar angin. Agensi itu dituduh seakan-akan tidak melindungi anggota Stray Kids sebaiknya.

Trak itu dihantar susulan kontroversi yang tercetus baru-baru ini membabitkan Han Seo Hee. Seo Hee adalah bekas jurulatih yang mencipta artis dan kini aktif sebagai pempengaruh.

Sebuah paparan log perbualan mesej antaranya dengan seorang individu menjadi tular baru-baru ini. Seo Hee dilihat bersembang mengenai perihal bercinta dengan ramai artis lelaki.

Namun, luahannya mengenai artis yang dipanggil E membuatkan peminat mengesyaki individu dimaksudkan adalah Hyunjin. Mereka dituduh mungkin adakan hubungan intim 'one night stand'.

Terdahulu, Hyunjin pernah dikaitkan kontroversi mengenai buli di sekolah pada 2021. Kemudian kontroversi paparan skrin pada telefon bimbitnya menggunakan foto anggota aespa, Karina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 6:30 AM