AGENSINYA tampil dengan kenyataan rasmi mengesahkan isu itu tidak berasas.
AGENSINYA tampil dengan kenyataan rasmi mengesahkan isu itu tidak berasas.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Kisah lampau selebriti Korea Selatan memainkan peranan penting bagi kelangsungan kerjaya mereka. Rata-rata peminat mahu idola mereka memiliki keperibadian terpuji untuk dijadikan inspirasi.

Bagaimanapun, penyanyi Cha Jun Ho menjadi mangsa terbaharu khabar angin membabitkan kisah lampaunya yang tidak boleh diterima.

Dia didakwa pernah menjadi pembuli di sekolah menengah dan memiliki keperibadian yang teruk.

Justeru, agensinya Woollim Entertainment tampil dengan kenyataan rasmi bagi meleraikan isu berkenaan. Menurut kenyataan itu, mereka mengesahkan tuduhan terhadap penyanyi terbabit tidak berasas.

"Kami mendapati wujud kes penyebaran maklumat palsu mengenai artis kami di Internet. Agensi sudah mengesahkan ada beberapa perkongsian dengan kandungan berunsur fitnah dan tanpa bukti asas tersebar.

"Kami memeriksa kesahihan laporan berkenaan dan mendapati kandungan terbabit sememangnya tidak benar. Sehubungan itu, kami akan mengambil tindakan guaman secara tegas," kata kenyataan itu.

Agensi terbabit juga akan mengotakan janji untuk terus melindungi artis mereka sebaik mungkin daripada sebarang tuduhan sebegitu. Mereka tidak akan memberi ruang sesiapa untuk mencalar imej artis mereka.

"Mengenai kes ini, imej artis kami sudah tercalar dengan khabar angin berkenaan yang tersebar menerusi sosial media, forum dalam talian dan dalam kalangan media. Kami akan lakukan yang terbaik untuk ambil tindakan tanpa teragak-agak," katanya.

Khabar angin itu mendakwa Cha Jun Ho ketika bergelar pelajar suka melakukan keganasan di sekolah. Beberapa tangkap skrin perkongsian mangsa bulinya di media sosial turut dimuat naik dalam sebuah forum dalam talian.

Dalam perkongsian itu, penyanyi terbabit dikhabarkan pernah menjadi mimpi ngeri kepada mangsa berkenaan. Dia didakwa suka melemparkan kata-kata kesat dan menghina secara peribadi pelajar lain.

Mangsa terbabit turut berkongsi sebuah album foto mereka sewaktu tamat persekolahan.

Selain itu, mereka turut berkongsi mesej perbualan sesama mereka sebagai bukti terhadap tuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 6:30 AM