JO Byeong Gyu
JO Byeong Gyu
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Pelakon, Jo Beyong Gyu menafikan dirinya pembuli seperti yang tersebar baru-baru ini. Menurut dakwaan itu, dia pernah membuli dan kelakuannya bermasalah ketika masih belajar.

Justeru, agensinya HB Entertainment menerusi kenyataan dikeluarkan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit. Pihaknya juga kini menyiasat perkara itu dan sedia mengambil tindakan undang-undang.

"Kami sudah mengemukakan permohonan undang-undang terhadap individu yang menyebar khabar angin serta komen berunsur fitnah terhadap Jo Beyong Gyu. Kami sudah memohon secara rasmi kepada polis untuk melakukan siasatan.

"Kami

tidak akan teragak-agak bertindak terhadap jenayah sebegini terutama membabitkan artis naungan kami. Berdasarkan siasatan polis, kami takkan bertolak ansur atau berunding sebaliknya bawa kes untuk tindakan undang-undang," jelas agensi itu.

HB Entertainment juga berjanji akan berusaha untuk melindungi hak artis mereka apabila membabitkan tuduhan tidak benar. Mereka tidak sewenang-wenangnya mengabaikan reputasi artis apabila menjadi mangsa fitnah atau khabar angin.

Kenyataan terbabit dikeluarkan agensi itu sebagai reaksi balas kepada tuduhan seorang individu yang mendakwa dirinya mangsa buli Jo Byeong Gyu. Difahamkan, mereka menghadiri sekolah sama di New Zealand.

Dalam perkongsian berkenaan, individu itu mendakwa pelakon terbabit dalang sehingga dirinya menjadi mangsa sumpah seranah 30 pelajar lain. Hal itu berlaku gara-gara dia tidak bertegur sapa dengan pelakon berkenaan.

Jo Byeong Gyu turut dituduh melakukan jenaka lucah, menghina guru dan selamba bercakap mengenai ganja dengan rakan-rakan. Menurutnya, pelakon itu tidak melakukan keganasan fizikal, tapi menerusi kata-kata.

Dakwanya lagi, dia berkongsi kepada umum hal terbabit disebabkan mahu memberitahu isu keganasan di sekolah masih berlaku. Dia juga menuntut permohonan ikhlas daripada pelakon terbabit.

Individu itu turut memuat naik foto dokumen sebagai bukti dia bersekolah di New Zealand. Tidak ketinggalan, dia turut menyertakan tangkap skrin bukti perbualannya dengan seorang rakan mengenai isu terbabit.

Ini adalah kali kedua Jo Byeong Gyu dikaitkan dengan khabar angin mengenai keganasan sekolah. Kali pertama pada 2018 di mana seorang individu mendakwa dirinya rakan sekelas pelakon itu mengatakan Jo Byeong Gyu biadab.

Bagaimanapun, pelakon itu menafikan sekerasnya tuduhan terbabit. Dia juga memaklumkan bahawa dia sudah lama tidak menghubungi rakan sekelasnya di New Zealand kerana jadual lakonannya sangat sibuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:30 AM