BABAK menarik dalam teater ini.
BABAK menarik dalam teater ini.
HM Digital

Hasil kerja pelajar tahun akhir Bahagian Drama & Teater Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditampilkan dalam teater Jangan Bunuh SAM amat membanggakan dan mendapat pujian ramai.

Teater genre komedi yang dipentaskan dengan kerjasama Sekretariat Drama & Teater USM di Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM baru-baru ini menarik kehadiran ramai peminat.

Jangan Bunuh SAM karya Zakaria Ariffin diarahkan Muhammad Amirul Abdul Safar, manakala Roslan Chin bertindak selaku penasihat.

Barisan pelakon pula terdiri daripada Shahdan, Haziq Mansor, Khalid, Sullong Faris, Hafiz Zakaria, Aisyah Khairruddin, Noor Rafizal, Wan Nuriza dan Apek.

Kru produksi pula ialah Abra, Eyka, Ecah, Nik, Amar, Shahira, Ain, Jef, Suthan, Daryn, EE Jin dan Juju.

Amirul berkata, pementasan kali pertama Jangan Bunuh Sam pernah dibuat pada Disember 2015 dan ini kali kedua dia mengarahkan naskhah ini.

“Bagi saya, skrip teater ini adalah skrip yang penuh keajaiban dalam pementasan. Ia sebuah skrip yang dimainkan dalam bentuk komedi tragik, mempunyai keenakan dan kepuasan buat pelakon, tenaga produksi dan penonton.

“Selain itu, Jangan Bunuh SAM ialah sebuah skrip yang memberi pelbagai tanggapan dan misterinya yang tersendiri, mampu buat penonton ketawa, menangis dan teruja dalam masa sama,” katanya.

Amirul yang juga pelajar tahun akhir Drama & Teater Pusat Pengajian Seni USM mengakui memperoleh keseronokan mementaskan sebuah skrip yang mempunyai pelbagai elemen dan struktur yang memberi kepuasan kepada dirinya sendiri.

Roslan pula sebagai penasihat memuji tenaga produksi dalam pementasan ini. Bagaimanapun, ia boleh dimantapkan lagi dari segi idea, struktur persembahan dan penyelidikan yang perlu dibuat oleh pelajar.

Penonton yang hadir pula secara keseluruhannya meminta agar momentum sebegini dikekalkan jika teater Jangan Bunuh SAM dipentaskan lagi pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 4:39 AM