ABU terbabit dengan Maharaja Lawak Mega 2016.
ABU terbabit dengan Maharaja Lawak Mega 2016.
SHAZLI pernah bersama kumpulan Ekzos dalam Maharaja Lawak Mega sebelum ini.
SHAZLI pernah bersama kumpulan Ekzos dalam Maharaja Lawak Mega sebelum ini.
POSTER Teater Rumah Welfare I’ntobaq.
POSTER Teater Rumah Welfare I’ntobaq.

Saban tahun Persatuan Teater Resdong’s akan tampil di pentas seni teater Pulau Pinang dengan persembahan teater yang sering mencuit hati.

Formula menggabungkan bakat komedi tempatan yang sudah menempa nama di pentas komedi tanah air seperti Mamak Puteh, Shazli Ekzos, Abu Mamu dan ramai lagi menjadi faktor utama pementasan mereka mendapat sambutan hangat daripada peminat seni teater tempatan.

Sebagai mengubat hati peminat selepas pembatalan pementasan yang dijadualkan bersama Allahyarham Yus Jambu pada penghujung tahun lalu, persatuan ini tampil dengan teater Rumah Welfare I’nTobaq sebagai pembuka tirai tahun ini.

Sinonim dengan genre komedi, barisan pelakonnya berjanji menampilkan sesuatu yang berbeza dalam persembahan kali ini.

Pementasan I’ntobaq sebenarnya adalah hasil adaptasi daripada skrip nukilan Aina Nabila Ahmad berjudul Ini Rumah Kita.

Skrip ini pernah menjadi johan Sayembara Penulis Drama Pentas Dewan Budaya dan Pustaka (DBP) pada 2011 dan mengungguli anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2012 dalam kategori drama.

Rumah Welfare I’nTobaq mengisahkan mengenai perjalanan hidup empat sahabat yang menjadi penghuni sebuah rumah kebajikan warga emas.

Konflik timbul apabila salah seorang daripada mereka dimestikan untuk berpindah ke rumah orang tua yang baru untuk menjamin keselesaan semua penghuni di rumah kebajikan itu.

Berdasarkan skrip asal, skrip ini menjanjikan 1,001 kisah sedih. Namun, Persatuan Teater Resdong’s bertindak mengolahnya bersesuaian dengan kelebihan pelakonnya yang terdiri daripada pelawak tempatan seperti Abu Mamu, Mamak Puteh, Shazli Ekzos, Lanun Resdong’s dan penampilan khas seorang penulis blog berasal dari Pulau Pinang, Jumie Samsudin.

Pengarahnya Azwan Abdul Wahab berkata, judul teater ini diubah kepada Rumah Welfare I’ntobaq agar bersesuaian dengan konteks penonton tempatan dan I’ntobaq ciptaan yang diberikan pemilik rumah kebajikan ini.

“Ini bukan kali pertama Persatuan Teater Resdong’s membuat pementasan teater di Pulau Pinang. Saya tak menafikan agak gementar dengan pementasan ini kerana saya tak tahu sama ada penonton boleh menerima atau tidak rentak baru yang cuba dibawakan dalam pementasan ini.

“Namun saya yakin berbekalkan kemampuan barisan pelakon yang sudah lama serasi serta keupayaan pasukan produksi Persatuan Teater Resdong’s yang selalu memberikan sepenuh komitmen terhadap apa saja projek yang dijalankan, saya pasti penonton tak akan hampa dengan persembahan yang sedikit berbeza kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, dua pelakon teater ini iaitu Abu Mamu dan Mamak Puteh masing-masing terbabit menyertai program Maharaja Lawak Mega 2016.

Abu menganggotai kumpulan BOS manakala Mamak bersama kumpulan Puteh.

Biarpun terikat dengan jadual MLM2016 yang padat, mereka tetap memberikan komitmen untuk menjayakan teater ini.

“Kami akan berada di Kuala Lumpur dari Rabu hingga Jumaat untuk MLM dan seterusnya dari hari Sabtu hingga Selasa akan kembali ke Pulau Pinang untuk berlatih bersama-sama dengan seluruh produksi teater Rumah Welfare I’ntobaq,” kata mereka.

Teater Rumah Welfare I’ntobaq akan dipentaskan selama dua malam iaitu pada 13 dan 14 Februari ini di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) bermula jam 8 malam.

Tiket berharga RM15 boleh didapati di kaunter masuk ataupun dengan menghubungi talian hotline 019-4587813 / 012-5618434 untuk tempahan atau pembelian tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:47 AM