BARISAN produksi Revodurah.
BARISAN produksi Revodurah.

Generasi muda lebih cenderung menonton karya bebas yang dirasakan lebih dekat dengan jiwa dan selera mereka.

Karya sebegini secara tidak langsung membuka ruang dan perspektif baru terhadap hala tuju dan nilai komersial pementasan teater.

Seperti kebanyakan karya seni lain, mereka yang menghasilkan karya ini pasti mahu tampil dengan idea lain daripada yang lain.

Itulah harapan aktivis seni indie, Akyem Samad, 25, yang bertanggungjawab mengetengahkan pementasan Revodurah.

Menerusi produksi, El Hesh Indie Moving Production, pelakon dan pengarah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kajian Politik dan Pemerintahan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini mempertaruhkan karya segar lain daripada yang lain.

Teater ini akan dipentaskan selama dua hari berturut-turut bermula 29 Januari ini, jam 8.30 malam di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut Akyem, objektif utama pementasan ini adalah untuk mendapatkan maklum balas pencinta teater selain ingin memperkenalkan barisan pelakon baru serta penghasilan teknik persembahan pentas baru seperti kaedah ‘hologram’.

Majoriti tenaga produksi terdiri daripada gabungan alumni UNIMAS, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia(USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) de­ngan dibantu kumpulan teater Ikabuana Stage Kuala Lumpur dan produksi PENTAS teater UPM.

Akyem berkata, Revodurah berkonsepkan eksperimen fiksyen animasi dengan mencipta watak seperti dalam karya animasi.

“Idea menghasilkan skrip ini datang apabila saya melihat sebuah projek pembangunan yang terbengkalai.

“Sejak itu, imej maya mula bermain di fikiran dan saya mula menyusun nama watak satu persatu. Ia sangat mengujakan,” katanya.

Penolong pengarah pementasan Azwan Azhari pula berkata Revodurah menekankan aspek artistik pentas dan juga permainan teknik.

“Ia satu kisah fiksyen dramatik yang memaparkan keinginan manusia demi meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Watak dalam pementasan in iadalah simbolik kepada realiti yang mungkin pernah dilalui sesiapa sahaja,” katanya.

Teater ini membariskan pelakon baru seperti FakaruddinAttar, Mohd Suhaimi, Shahida Shamsuddin, Hawa Khadeejah, Fadzil Radzi, Paizan Hassan, Tony Abdul, Mustari Dahlan, Taufiq Apek, Ika Angah dan Fathi Radzi.

Revodurah mengisahkan bangsa Melbon di Kota Merah selepas berakhirnya Perang Zairus. Nama Kota Merah sering disebut-sebut penduduk Bumi Selatan, Bumi Timur dan Bumi Barat kerana dikatakan memiliki sumber asli paling penting platinum merah.

Dek iri hati, Perang Zairus dilancarkan dan Kota merah musnah teruk. Platinum merah menjadi buruan ramai dan satu ‘pesta’ rebutan manusia tercetus sehingga me­ngorbankan jutaan nyawa.

Pada saat genting itu, muncul seorang lelaki yang me­ngaku dirinya raja dan cuba menakluki Kota Merah.

Tiket untuk menonton pementasan ini berharga RM15 manakala pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi pula RM10 boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM.

Maklumat lanjut teater ini boleh diperolehi dengan mengunjungi laman Facebook ElHeshIndieMovingProduction.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:00 AM