BABAK menarik pementasan Kiri Kanan.
BABAK menarik pementasan Kiri Kanan.
Ridzuan Abdul Rahman


September lalu, teater Kiri Kanan arahan Dr AS Hardy yang menampilkan tokoh pakyung terkenal Rosnan Rahman, Aishah Hoo dan Caresa Julian dipentaskan di National School of Drama New Delhi, India sempena 9th UNESCO Asia-Pacific (Theatre Directors Conference & Festival).

Sambutan yang diterima terhadap karya tulisan AS Hardy ini sememangnya menggalakkan. Daripada 18 negara yang terbabit, Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih mewakili negara.

Memandangkan Kiri Kanan sebuah karya menarik, ada permintaan untuk dipentaskan di dalam negara pula.

Panggung Sasaran USM Pulau Pinang menjadi lokasi pertama pementasan ini pada 10 November lalu dan seterusnya di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Sabtu ini.

AS Hardy berkata, tiga pelakon teater ini adalah pelajar Pusat Pengajian Seni USM dan mereka berjaya menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang.

“Rosnan dan Siti Aishah pelajar sarjana manakala Caresa adalah pelajar tahun tiga jurusan ini.

“Kiri Kanan sebuah teater berkonsep eksperimental (devised play). Idea asalnya datang daripada saya sendiri tetapi perkembangan cerita turut dibangunkan pelakon.

“Mereka terbabit bermula dengan kajian, pembinaan skrip, pergerakan lakon dan kesan bunyi,” katanya.

Menurutnya lagi, Kiri Kanan memaparkan budaya Melayu dan lagu rakyat di dalam mengangkat tema penceritaan.

“Ceritanya mengisahkan liku hidup dua watak utama yang mewakili penggiat seni tradisional dan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.

“Saya menyeru penonton untuk hadir menyaksikan teater ini kerana ceritanya mempunyai mesej sangat mendalam,” katanya.

Sementara itu, Rosnan mengakui teruja terbabit dalam projek ini.

“Kami sebenarnya merancang beraksi di beberapa lokasi terpilih seperti KL Pac tetapi malangnya tempat itu penuh pula.

“Oleh itu untuk sementara waktu, kami akan buat persembahan di universiti dahulu. Ia bukan sekadar persembahan kerana kami turut mengadakan bengkel teater.

“Ia penting kerana kami mahu orang ramai faham apa itu konsep ‘devised play’. Dr AS Hardy beritahu kami apa yang diinginkannya.

“Daripada situ kami buat kajian, bangunkan watak, jalan cerita dan dialog yang sesuai untuk dimasukkan,” katanya.

Selepas itu, menjadi tugas pengarah untuk menyusun sebuah cerita mengikut kehendak tema.

“Beliau mahu kami fikir sendiri apa yang perlu dibuat. Ia satu pendekatan yang jarang dibuat di sini. Bahkan tak ramai penggiat teater didedahkan konsep begini.

“Berkenaan karakter pula, saya akui mulanya agak janggal berlakon kerana sudah tegar dengan teater tradisional.

“Jadi, saya kena ambil masa sedikit untuk menjiwai watak kerana ia memerlukan fokus dan skil yang mencabar.

“Kiri Kanan sebuah teater minimalis dan kita perlu memahami apa yang ingin disampaikan,” katanya yang kini bergelar Timbalan Pengarah Produksi Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 1:40 PM