Pementasan teater Dang Anum.
Pementasan teater Dang Anum.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Baru sekali dipentaskan, teater Dang Anum terbitan Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) sudah mendapat tawaran untuk mengadakan 'roadshow' di Batam dan Riau, Indonesia.

Menurut Penerbit dan pengarah teater ini, Amirul Haswendy Ashari, tawaran itu muncul dari kalangan peminat teater yang berminat untuk membawa naskhah itu ke beberapa lokasi terpilih di dalam dan luar negara.

"Pada mulanya, pihak kami agak terkejut dan seperti bermimpi pula bila mereka menawarkan kerjasama dan tajaan untuk membawa teater Dang Anum ke beberapa negeri di Semenanjung.

"Lebih mengejutkan, pihak terbabit juga mahu membawa naskhah ini untuk dipentaskan di Batam dan Riau, Indonesia," katanya.

Mengenai teater Dang Anum lagi, kata Amirul, sememangnya naskhah itu sangat dekat dengan masyarakat terutama bangsa Melayu yang tinggal di beberapa kepulauan Melayu seperti Batam dan Riau.

"Setakat ini, pihak kami belum bersedia berkongsi mengenainya lebih terperinci kerana masih dalam proses perbincangan lagi.

"Pihak kami mahu Teater Dang Anum selesai dipentaskan di sini terlebih dahulu.

"Jika ada rezeki, tidak mustahil ia akan 'mengembara' ke seluruh pelusuk negeri termasuk ke negara jiran," katanya.

Sementara itu, kata Amirul lagi, teater yang mula dipentaskan malam tadi, berjaya menarik lebih 200 penonton.

"Pementasan terakhir ialah pada hari ini di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur," katanya.

Teater Dang Anum menampilkan barisan pelakon seperti Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar (Megat Seri Rama/Laksamana Bentan), Along Eyzendy (Sultan Mahmud) dan Adam Shahz (Tun Beja Ali).

Selain menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md Hussin, Azhar Jalil, AG Hafiz, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.

Teater Dang Anum adalah projek teater pertama The Redholah di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Seni Kreatif, Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 3:13 PM