ESI latihan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.
ESI latihan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.

Nama Zakaria Ariffin cukup dikenali pengikut dan aktivis seni teater tempatan kerana sering menghasilkan karya besar dan bermutu.

Zakaria pernah memenangi S.E.A Write Award di Thailand pada 2001 sekali gus menjadi penerima kedua kategori drama selepas Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan meraihnya pada 1983.

Justeru, karya Zakaria berjudul Perempuan Seorang Leftenan Inggeris menjadi pilihan pensyarah Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Engku Zalifah Abdul Rased untuk dipentaskan di Studio BlackBox ASWARA bermula semalam sehingga esok pada jam 8.30 malam.

Engku Zalifah berkata, naskhah ini dipilih kerana konflik dan naratifnya yang menarik.

“Zakaria penulis skrip yang prolifik kerana menghasilkan 25 skrip drama pentas karya asal dan adaptasi termasuk Pentas Opera, Raja Lawak, Belum Selesai, Jangan Bunuh Sam, Teja dan Siti Zubaidah.

“Teater ini dipentaskan untuk menilai pelajar tahun 1 bagi subjek ATE 1053 Produksi Teater Moden. Kekuatan naskhah ini diharap dapat menguji kehebatan dan kematangan barisan pelakon.

“Terdapat juga beberapa watak yang sama seperti Juliah dan Ahmad Bakhtiar, tetapi dilakonkan dua pelajar yang berbeza. Ini kerana saya ingin memberi peluang kepada pelajar berbakat dan sesuai menghidupkan karakter itu.

“Selain itu, produksi ini turut dibantu pelajar diploma, ijazah dan graduan teater yang berpengalaman,” katanya.

Perempuan Seorang Leftenan Inggeris berlatarbelakangkan detik akhir pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Seorang penyanyi kabaret yang juga pelakon bangsawan bernama Khatijah terpaksa melayan seorang pegawai tentera Jepun untuk meneruskan kehidupannya.

Namun jauh di sudut hati dia merindui kekasihnya, pegawai tentera British yang lari mening­galkan Tanah Melayu apabila dijajah Jepun.

Khatijah berhubungan secara sulit dengan seorang pejuang bawah tanah yang menentang penjajahan dengan semangat dan gagasan ‘Melayu Raya’.

Barisan pelakon yang terbabit dalam teater ini ialah Nur Ariani Maslan (Khatijah), Muhamad Amirul Abdul Rahman dan Abi Madyan Mohd Fakir (Ahmad Bakhtiar), Zaim Zainal (Leftenan Yajima), Mohd Fadhli Masoot (Ah Peng), Muhammad Amir Ameezan Md Din (Rasyid), Fatin Wafiy Daud dan Nur Raihana Nadhrah Mohamad Rizal (Juliah), Mohammad Shahmir ­Afzan Idris (Osman Bombay), Mohd Akid Jabran Mohamad Jaafar (Tanaka) serta Shah Hasannul Manzar Borhanuddin (Boon Tat).

Esok, persembahan teater Perempuan Seorang Leftenan Inggeris esok dipentaskan pada jam 3 petang dan 8.30 malam.

Tiket menonton persembahan ini berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:02 AM