MADANI (tengah) bersama Awie dan barisan artis yang terbabit dalam Festival Soundvalley sempena Malaysia Autoshow 2017.
MADANI (tengah) bersama Awie dan barisan artis yang terbabit dalam Festival Soundvalley sempena Malaysia Autoshow 2017.
Ridzuan Abdul Rahman

Pembabitan artis dalam program automotif bukan satu perkara baru bagi menarik kehadiran ramai pengunjung.

Oleh itu, barisan artis popular dalam dan luar negara ditampilkan dalam program Malaysia Autoshow 2017 yang akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 11 dan 12 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Automotive Institute (MAI) Datuk Madani Sahari berkata, segmen membabitkan artis pertama kali diperkenalkan dan menjadi tarikan terbaru Malaysia Autoshow 2017.

“Saban tahun kami menganjurkan program autoshow, tapi ini kali pertama cuba menampilkan artis sebagai kelainan. Integrasi di antara seni muzik dan industri automotif sememangnya menarik untuk diketengahkan.

“Kami buat rumusan menggandingkannya sebagai pengalaman baru buat pengunjung yang hadir. Kumpulan dan artis yang dipilih antara yang terhebat dan dikenali peminat,” katanya.

Gandingan Malaysia Autoshow 2017 bersama Festival SoundValley ini menampilkan 11 kumpulan muzik tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan England.

Pada hari pertama, peminat akan dihiburkan dengan kumpulan Bloc Party, Barasuara, Hujan, Bunkface dan Otherside Ochestra.

Manakala persembahan pada hari kedua iaitu 12 November pasti menggegarkan kerana menampilkan gergasi heavy metal Asia iaitu kumpulan Loudness dari Jepun, Wings, May, Metalasia, FiftyOne 50 dan Cassandra.

Madani berkata, dengan penampilan barisan artis hebat ini, pihaknya menjangkakan bilangan pengunjung yang hadir akan bertambah berbanding tahun sebelumnya.

“Program autoshow sebelum ini berupaya menarik kehadiran sekitar 100,000 hingga 150,000 pengunjung selama empat hari pameran.

“Kali ini kami percaya kehadiran pengunjung boleh mencecah sekitar 250,000 kerana banyak tarikan yang ada di sini,” katanya.

Konsert akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula jam 3 petang sehingga 5 petang dan sesi kedua jam 8 malam sehingga 11 malam.

“Tak dinafikan konsert ini tarikan yang kuat, namun autoshow sendiri ada keistimewaannya kerana bukan hanya pameran kereta, tetapi mendedahkan pengunjung dengan banyak aspek antaranya cara pemanduan berhemah, keselamatan semasa memandu dan banyak lagi,” katanya.

Datuk Awie berkata, ini peluang untuk mereka beraksi satu pentas dengan Loudness selepas beraksi dengan kumpulan Europe di Singapura pada penghujung tahun 1980-an dan Scorpions dalam Rockaway Festival sempena perlumbaan Malaysia MotoGP 2016 di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu.

“Ini antara pengalaman manis kami dalam arena seni. Industri automotif dan seni muzik masing-masing ada keistimewaannya.

“Kami harap ini permulaan yang baik untuk penganjur mengadakan lagi acara begini pada tahun depan dengan lebih besar. Terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk beraksi satu pentas dengan artis antarabangsa,” katanya.

Festival SoundValley dianjurkan Malaysia Automotive Institute (MAI) dengan kerjasama RSVP Media Sdn Bhd dan akan berlangsung dari jam 2.30 petang sehingga jam 11.30 malam.

Tiket yang bermula daripada RM98 hingga RM836 boleh diperoleh secara online di www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:50 AM