Norhayati Nordin

Istilah ‘rumahku syurgaku’ memang tepat untuk menggambarkan keharmonian dalam keluarga penyanyi meningkat naik, Syuhada, 20.

Makin popular dengan lagu Bukan Dia, Syuhada atau Wan Syuhada Md Amin dibesarkan dalam kesederhanaan tetapi mewah dengan kasih sayang.

Peluang berkunjung ke kediaman Syuhada di kawasan rumah pangsa Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini, amat bermakna. Apa yang istimewa ialah hubungan kasih sayang diterapkan dalam keluarganya amat erat di antara ibu dan anak.

Kata Syuhada, biarpun dari segi harta kehidupannya tidaklah mewah tetapi perkara utama dan paling penting dalam keluarga ialah kasih sayang.

“Terus terang, kalau dilihat pada keluasan rumah ini tidaklah sebesar mana tetapi ia sangat bermakna buat kami adik-beradik.

“Dari kecil hingga dewasa, terlalu banyak kenangan indah yang tak mampu kami enam beradik lupakan pernah berlaku dalam rumah ini.

“Bahkan sampai sekarang, walaupun empat adik-beradik sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri, mereka tetap datang berkunjung.

“Terutama pada hujung minggu dan cuti umum, suasana dalam rumah ini pasti riuh dengan kehadiran sembilan anak saudara saya,” katanya.

Menurut Syuhada, memang menjadi rutin abang dan kakak untuk senantiasa meluangkan masa datang ke rumah itu walaupun sudah berumah tangga.

Kediaman yang dihuni Syuhada bersama ibu bapanya tersusun kemas dan susun atur serta tatarias ruang tamu rumah dilakukan ibunya, Raja Habibah Raja Tam, 56, yang memang suka menghias.

Kata Syuhada, walaupun keluasan rumahnya terhad, ia tidak pernah mendatangkan masalah pada dia dan ibunya untuk senantiasa menghiasnya.

“Jika kami dua beranak berkunjung ke kedai perhiasan kelengkapan rumah, pasti ada hiasan baru yang dibeli,” katanya.

Kawasan tempatnya membesar itu cukup bermakna buat Syuhada dan banyak menyimpan kenangan manis ketika kecil. Dia mempunyai ramai rakan sebaya di kawasan rumah pangsa itu.

“Sekarang ramai rakan sudah berpindah kerana melanjutkan pengajian dan bekerja di tempat lain. Apapun, saya juga menyimpan impian untuk menyediakan kediaman lebih baik buat ibu bapa. Sudah tiba masanya untuk saya berbakti kepada mereka.

“Apabila difikirkan, sampai bila saya bersama ibu bapa harus tinggal di rumah ini. Sebagai anak, semestinya saya ada impian sendiri.

“Saya senantiasa berdoa semoga satu hari nanti impian ini akan tercapai. Syukur alhamdulillah, nampaknya kerjaya seni saya juga mula bersinar.

“Semoga kejayaan diperoleh ini akan berterusan. Apa pun, selagi ada peluang dan sokongan peminat, saya akan terus berusaha,” katanya.

Muncul juara Idola Kecil musim pertama pada 2008, Syuhada pernah menggunakan nama pentas Wada.

Pun begitu, sebaik bernaung bawah Suria Records (SRC) dia mahu membawa pembaharuan dan ingin dikenali sebagai Syuhada.

Kalau dahulu Syuhada pernah dikenali dengan single Bahagia Pun Tiba dan Qesah Qasih, kini dia mempertaruhkan dua lagu baru, Tanpa Kamu duet bersama Iwere dan Bukan Dia.

Yakin pada bakat anak

Ibu bapa mana yang tak mahu anaknya berjaya, begitu juga dengan Raja Habibah apabila begitu menyokong minat anak bongsunya.

Dia dan suami mula menyedari minat Syuhada pada nyanyian ketika anak gadisnya itu berusia tujuh tahun. Sebagai ibu, selagi minat ditunjukkan itu ke arah yang baik, sudah tentu dia memberi sokongan. Apatah lagi dia menghormati minat anaknya.

“Sebagai dorongan kepada Syuhada, semenjak dia kecil saya memberikan galakan kepadanya untuk menyertai apa sahaja pertandingan nyanyian.

“Hinggalah suatu hari Syuhada memberitahu hasratnya untuk menyertai uji bakat Idola Kecil. Ketika itu, saya dan suami ikutkan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, kata Raja Habibah, ada kisah menarik ketika anaknya mahu menghadiri uji bakat Idola Kecil kerana pada hari sama, dia layak bertanding pada peringkat akhir satu peraduan nyanyian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.

Sudah tentu dia dalam dilema, mana satu yang harus dihadiri. Dia juga tidak mahu peluang anaknya disia-siakan lalu dengan berani bertemu pihak penerbitan uji bakat Idola Kecil.

“Saya meminta mereka uji bakat Syuhada dahulu kerana kami mahu bergerak menghadiri pertandingan di Jalan TAR pula.

“Syukur tak terhingga saya rasakan apabila mendapat kerjasama yang baik daripada pihak penerbitan uji bakat,” katanya.

Mengakui gembira dengan kejayaan Syuhada kini, Raja Habibah amat besar hati anaknya juga seorang yang tak banyak kerenah serta ringan tulang membantu kerja di rumah.

“Syuhada juga sangat peka dengan hidangan makanan yang saya masak. Setiap hari dia pasti bertanya apa menu sarapan, makan tengah hari dan makan malam mereka. Apabila di dapur, dia rajin membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:08 AM