AIDILFITRI bersama pelakon Dubai My Love.
AIDILFITRI bersama pelakon Dubai My Love.
Ramlah Zainal


Selepas genre seram, pengarah Aidilfitri Mohamed Yunos mempertaruhkan pula filem genre romantik berjudul Dubai My Love yang bakal ditayangkan bulan depan.

Selain memaparkan keindahan kota Dubai, filem terbitan Tsar Asia Sdn Bhd ini juga menampilkan barisan bakat baru iaitu Hana Aqeela, Erwin Dawson, Putri Najuwa dan Ben Ali selaku teraju utamanya.

Ketika ditemui, Aidilfitri yang sudah bergelar pengarah sejak 18 tahun lalu mengakui filem itu cukup bermakna buatnya.

“Saya terima tawaran untuk mengarahkan filem ini kerana tertarik dengan naskhahnya. Jalan ceritanya juga menarik kerana ia mengangkat kisah lelaki yang ditinggalkan pasangan pada hari perkahwinannya.

“Bagi saya, cinta itu sendiri seperti satu perjalanan dalam hidup kita. Saya juga mengekalkan elemen romantik yang lebih mendalam dan mampu menyentuh emosi penonton nanti,” katanya.

Menurut Aidilfitri, dia memilih untuk menjayakan penggambaran filem itu di luar negara untuk menterjemahkan jalan ceritanya.

“Hampir 80 peratus babak dalam filem ini memaparkan keindahan Dubai dan selebihnya di sekitar Kuala Lumpur.

“Kami mendapat kerjasama Dubai Tourism bagi menjalani penggambaran di lokasi popular Atlantis The Palm, The Gold Souk, Dubai Marina, Pantai Jumeirah, Burj Khalifa dan Padang Pasir Safari,” katanya.

Pertaruh wajah baru

Selaku pengarah, Aidilfitri percaya dia perlu memberi peluang kepada bakat baru sekali gus sebagai pelapis dalam industri filem tanah air.

“Saya dan penerbit eksekutif filem ini, Wan Sariah Wan Jaafar memang berbincang secara terperinci dari segi pemilihan pelakon untuk beraksi dalam filem ini.

“Kami juga sepakat mengetengahkan barisan pelakon baru seperti Hana Aqeela, Erwin dan Putri Najuwa. Mereka mempunyai bakat dan potensi yang besar dalam bidang lakonan.

“Pemilihan juga dibuat berdasarkan prestasi lakonan mereka sebelum ini,” katanya.

Aidilfitri berkata, dia juga berpuas hati dengan komitmen yang diberikan barisan pelakon filem itu.

“Kami sudah buat yang terbaik dan berharap filem ini mampu menarik penonton apabila ditayangkan nanti,” katanya.

Antara karya arahannya sebelum ini ialah filem seram Aku Haus Darahmu, drama Mantera Anjasmoro dan Rindu Awak 200 Peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:02 AM