AIDILfitri (kanan) bersama Erwin (kiri), Puteri Najuwa (dua dari kiri) dan penyanyi OST filem Dubai My Love, Nik Qistina pada majlis tayangan filem berkenaan.
AIDILfitri (kanan) bersama Erwin (kiri), Puteri Najuwa (dua dari kiri) dan penyanyi OST filem Dubai My Love, Nik Qistina pada majlis tayangan filem berkenaan.
Ramlah Zainal


Selepas genre seram Aku Haus Darahmu tahun lalu, pengarah Aidilfitri Mohamed Yunos, kembali dengan filem romantik Dubai My Love khusus buat penggemar filem tempatan.

Filem terbitan Tsar Asia Sdn Bhd ini mula ditayang­kan di pawagam seluruh negara semalam.

Apa yang menarik, filem ini mempertaruhkan gandingan pelakon baru seperti Erwin Dawson, Hanna Aqeela dan Putri Najuwa selaku teraju utama.

Ketika ditemui, Aidilfitri mengakui lega filem terbaru arahannya itu akhirnya ditayangkan di pawagam tanah air.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan filem ini kerana ia ada kelainan daripada yang pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan filem ini, Aidilfitri berkata, dia percaya filem cinta seperti Dubai My Love tetap ada pengikut tersendiri.

“Selain sinematografi bandar raya Dubai yang memukau, penonton akan terbuai dengan rangkaian lagu yang mengusik jiwa,”katanya

Aidilfitri ditemui pada majlis tayangan filem itu di Mutiara Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Berkongsi tarikan filem itu, Aidilfitri berkata, Dubai My Love membabitkan penggambaran 80 peratus di lokasi menarik sekitar Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kerjasama Dubai Tourism.

“Saya bertuah kerana skrip dihantar ke agensi sama yang menilai skrip filem Hollywood, Mission Impossible di sana turut menyukai jalan cerita filem ini.

“Mereka juga memberi permit dan memudahkan penggambaran filem ini di lokasi menarik dan menjadi tarikan pelancong.

“Antara lokasi yang dipaparkan dalam filem ini ialah Burj Khalifa, Padang Pasir Safari, Atlantis The Palm, The Gold Souk, Dubai Marina dan Pantai Jumeirah,”katanya.

Sebagai kejutan, kata Aidilfitri, dia juga merakamkan dua pengakhiran yang berbeza untuk filem itu.

“Sebenarnya, barisan pelakon sendiri pun tidak tahu apa penamat cerita ini. Anda perlu ke pawagam untuk mengetahui jawapannya.

“Bagaimanapun, saya juga puas hati dengan komitmen barisan pelakon, walaupun masih baru, prestasi lakonan mereka mantap dan beri impak pada jalan cerita,” katanya.

Tayangan ke luar negara

Mengenai soal kutipan pula, Aidilfitri berkata, dia tidak mengharapkan kutipan di pawagam semata-mata.

“Walaupun bajet filem ini tidak sampai RM1 juta, saya tetap berikan yang terbaik dengan bajet sedia ada.

“Saya tidak harap keun­tungan penjualan tiket semata-mata, tapi sebaliknya merancang tayangan filem ini di luar negara seperti di Myanmar.

“Setakat ini sudah ada syarikat penerbangan iaitu Emirates berminat menayangkannya di dalam pesawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 2:48 AM