Aeril dan isteri kini pasang pendinding diri. FOTO INSTAGRAM
Aeril dan isteri kini pasang pendinding diri. FOTO INSTAGRAM
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Aeril Zafrel, 28, enggan menuduh mana-mana pihak yang dikatakan cuba mensabotaj dirinya dengan meletakkan benda ‘pelik’ di kios perniagaannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini dan Johor Bahru minggu lalu.

Dua benda ‘pelik’ berupa tiga keratan buluh yang diikat dengan tali serta dibakar di hujungnya itu dijumpai salah-seorang pekerja Aeril masing-masing satu di kios perniagaannya di PWTC dan Johor Bahru.

Penemuan itu turut dikongsi Aeril laman Instagram Aeril berserta kapsyen, "Jumpa benda alah ni kat booth masa meniaga malam tadi kat PWTC. Apalah niat sebenarnya? Astaghfirullah.. Bulan Ramadan pun nak buat mcm ni.. Bukan booth kat KL je booth kami kat Johor pun sama, staf jumpa benda yang sama..

"Zaman sekarang ada lagi orang percaya benda-benda ni. Dah bawak pergi jumpa pakar dalam bidang ni.. Ternyata benda ni sihir! Cukup-cukuplah. Percaya pada rezeki masing-masing #iknowwhouare.

Aeril bersama isterinya yang membuka kios jualan Lima Waktu dan Wawa Zainal RTW bersama isterinya Wawa Zainal berkata, dia tidak pernah memusuhi sesiapa sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati mana-mana pihak terhadapnya.

"Memang terkejut dengan apa yang berlaku. Saya tidak pasti ini kerja siapa dan enggan menuduh pihak mana yang melakukannya. Lagipun saya tidak tahu niat mereka berbuat demikian.

"Alhamdulillah apa yang dilakukan juga tidak mendatangkan kesan terhadap perniagaan kami dan ia tetap berjalan lancar," katanya.

Aeril berkata, dia kecewa kerana masih ada pihak mengamalkan cara yang dilarang agama, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

"Saya minta sesiapa yang melakukan perkara ini supaya bertaubat dan kembali kepada Allah.

"Kami sudah merujuk kepada pengamal perubatan Islam dan mereka mengesahkan ia memang perbuatan sihir dan berkaitan ilmu hitam," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Aeril dan Wawa memasang 'pendinding diri' untuk mengelakkan diri terkena perbuatan sihir pihak yang cuba mengkhianati mereka.

"Kami disaran sentiasa mengamalkan membaca ayat-ayat Al Quran dan berzikir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 6:10 PM