Aeril reda dengan kehilangan RM100,000 ditipu ahli perniagaan. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Aeril reda dengan kehilangan RM100,000 ditipu ahli perniagaan. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Norhayati Nordin


PELAKON, Aeril Zafrel akui reda dengan kehilangan wang RM100,000 akibat ditipu seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk'.

Aeril atau Suhairil Sunari, 30, ditemui berkata perkara itu pun sudah lama dan sehingga kini 'Datuk' terbabit masih gagal dikesan.

"Sebagai mangsa, saya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu tetapi sehingga sekarang senyap begitu saja.

"Jadi, daripada terus fikirkannya saya sudah sampai tahap reda. Soal duit itu, biarlah 'dia' jawab di akhirat nanti.

"Lagi pun, kalau saya nak juga mencari 'dia', banyak benda harus dilakukan dan perkara itu sampai bila pun takkan selesai.

"Jadi, lebih baik teruskan kehidupan dan kepada individu itu biarlah dia menjawab semuanya di akhirat nanti," katanya.

Menurut Aeril, sekarang pun jadualnya sibuk menyiapkan penggambaran drama Jibril termasuk latihan teater Tanah Akhirku yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 28 Ogos hingga 2 September ini.

Aeril berkata, dia kini selesa memberi tumpuan pada karier lakonannya termasuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Daripada saya terus memikirkan kehilangan duit itu, lebih baik saya fokuskan pada kerja. Apatah lagi, saya sudah berkeluarga.

"Saya ada isteri dan anak perlu dijaga kebajikan dan keperluan mereka. Lagi pun, duit itu dah tak jumpa," katanya.

Aeril bertemu jodoh dengan pelakon Wawa Zainal dikurniakan dua anak iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 5, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 4:36 PM