AERIL menjaga Wawa yang ditahan di hospital. FOTO Instagram Aeril Zafril
AERIL menjaga Wawa yang ditahan di hospital. FOTO Instagram Aeril Zafril
Sudirman Mohd Tahir


“SEMALAM Wawa makan durian, tarap, nanas dan makanan laut.

“Mungkin sebab terlalu banyak, jadi bayi dalam kandungan terkejut dan beri kesan pada kandungan,” kata pelakon Aeril Zafrel mengenai keadaan isterinya, Wawa Zainal yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Aeril berkata, buat masa sekarang isterinya dalam keadaan stabil dan tidak terdapat sebarang masalah serius.

Menurut Aeril, jika semuanya okey, Wawa akan dibenarkan keluar petang ini.

“Tidak dapat dipastikan sama ada Wawa keracunan makanan atau tindak balas bayi dalam kandungan. Cuma, saya berharap tidak ada apa yang teruk.

“Pagi tadi dia tiba-tiba saja muntah-muntah. Itu yang terus bawa ke hospital dan selepas pemeriksaan dia kena tahan,” katanya kepada Harian Metro.

Aeril berkata, Wawa yang kini hamil lima bulan mengakui itu bukan kali pertama isterinya terkena perkara sama.

“Ketika hamil anak kedua dulu pun, Wawa pernah kena perkara sama. Tapi lebih teruk lagi.

“Cuma kali ini bagi saya ia biasa dan sikit saja. Doakan Wawa baik-baik saja,” katanya.

Aeril dan Wawa berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja sejak kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 3:30 PM