Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: SLAE Cosmetics Sdn Bhd berada di landasan kukuh untuk melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa selepas berjaya meletakkan jenama SLAE Cosmetics dalam segmen pasaran wanita berkerjaya sejak dua tahun penubuhannya.

Pengasasnya, Datin Dr Nik Sarina Hashim berkata, selain memberi tumpuan pada pasaran tempatan pihaknya merancang untuk menembusi pasaran Kemboja serta ke negara berpotensi lain seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk pengguna Muslim.

Katanya, SLAE Cosmetics juga sudah berada di pasaran Brunei berikutan mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan dan produk SLAE Cosmetics kini dipasarkan di lima cawangan kosmetik Paloma di negara itu.

"Sudah tentu kami ingin mengembangkan jenama ini dalam kalangan wanita berkerjaya dan misi kami adalah menjadikan SLAE Cosmetics sebagai kosmetik pilihan wanita berkerjaya di Malaysia, Asia Tenggara dan negara Barat.

"SLAE Cosmetics juga membantu wanita berkerjaya mencapai matlamat untuk menyerikan wajah, memberi keyakinan serta penampilan yang cantik dan ia mudah diguna dan ditanggalkan.

"Penerimaan pengguna sangat memberangsangkan, bukan saja terasa ringan pada kulit, warnanya kekal dan tahan lama tetapi juga menampilkan warna natural yang sesuai dengan citarasa wanita," katanya kepada Bisnes Metro.

SLAE Cosmetics menawarkan rangkaian penuh mekap seperti pembayang mata, gincu dan bedak asas yang menampilkan rasa ringan kepada pemakainya, sesuai dengan ciri wanita bekerja yang serba pantas dan tidak mahu meluangkan terlalu banyak masa di meja mekap.

Beliau berkata, rangkaian kosmetik keluarannya diformulasikan menggunakan bahan semula jadi tanpa paraben, pewangi, minyak mineral dan alkohol malah turut menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain itu, Nik Sarina berkata bagi memastikan SLAE Cosmetics kekal kompetitif dalam pasaran semasa, pihaknya mempunyai pasukan sendiri yang aktif di media sosial selain kerap turun padang untuk mendekati pengguna.

"Kami juga mempunyai jurusolek dalaman sendiri dan apabila turun ke lapangan, mereka akan memberi tunjuk ajar kepada pengguna serta mengadakan sesi tutorial solekan menerusi Shopee, Tik Tok dan Lazada.

"Saya berharap SLAE Cosmetics dapat terus bertahan di pasaran selama 10, 20 atau 30 tahun lagi dan untuk itu saya menghargai kakitangan yang banyak membantu sejak jenama ini diperkenalkan dan komited untuk bersama mereka, mengembangkan lagi jenama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 11:01 AM