ALISON (kanan) bersama Nelydia (empat dari kanan) dan barisan pemenang.
ALISON (kanan) bersama Nelydia (empat dari kanan) dan barisan pemenang.
 DUA produk baru yang sudahpun berada di pasaran.
DUA produk baru yang sudahpun berada di pasaran.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Pencarian jenama mekap popular dari United Kingdom (UK), Collection Cosmetics untuk menyerlahkan empat personaliti dengan tema tersendiri berakhir apabila semua pemenang diumumkan, baru-baru ini.

Peraduan LookBook selama sebulan yang berakhir 22 Oktober lalu itu diadakan menerusi media sosial dan mendapat sambutan hangat di seluruh negara.

Kesungguhan dan kreativiti empat gadis manis iaitu Shazleen Abdul Jabar, Moo Ee Fern, Erra Afifa Ali dan Amelia Chiang menawan hati juri, sekali gus memilih mereka sebagai pemenang peraduan berkenaan.

Pengurus Jenama Collection Asia Pasifik Alison Tai berkata, pihaknya menghargai kreativiti individu dan peraduan itu diadakan untuk menggalakkan golongan muda menyerlahkan bakat masing-masing dalam bermain dengan warna.

"Peraduan ini menggabungkan fesyen dan solekan dalam cara tersendiri untuk menyerlahkan imej yang dimiliki.

"Keempat-empat pemenang ini membuktikan gabungan aliran fesyen terkini dan solekan mampu menarik remaja untuk berani bermain dengan warna," katanya pada majlis mengumumkan pemenang peraduan itu di ibu negara.

Hadir sama duta jenama itu yang juga pelakon popular, Nelydia Senrose.

Setiap pemenang memuat naik penampilan paling bergaya yang mempamerkan kreativiti suai padan serta gaya solekan mengikut tema mingguan iaitu Candy Crush, Gorgeously Sweet, Glamour Glitz dan Rocker Chic.

Pemenang setiap kategori menerima produk jenama itu bernilai RM800, pakaian dari penaja, telefon pintar dan peluang muncul dalam buku fesyen.

Pemenang kategori Rocker Chic, Ee Fern berkata, gaya berkenaan menjadi kegemarannya sejak dulu. Dia suka menggayakan pelbagai rekaan pakaian dengan padanan solekan yang tidak terlalu terang.

"Saya selesa dengan gaya dan solekan ini kerana ia menyerlahkan karisma tersendiri. Ia menjadi pilihan untuk keluar pada hujung minggu bersama teman atau yang tersayang," katanya.

Dalam pada itu, pada majlis sama, dua produk terbaru iaitu Urbanista Lip Crayon dan Colour Eyebrow Kit diperkenalkan. Produk berkenaan dapat membantu si gadis tampil dengan solekan yang lebih sempurna.

Krayon bibir dan kit warna kening itu boleh didapati bersama koleksi Collection Cosmetic di rangkaian Watsons dan kedai F block terpilih.

Sementara itu, bagi yang belum mengenali jenama berkenaan, ia sudah berada lebih 25 tahun di pasaran UK dan terkenal dengan kepakaran dalam menawarkan produk kosmetik berkualiti, menjimatkan dan bergaya untuk wanita.

Sehingga kini, jenama antarabangsa yang digemari wanita dari serata dunia itu boleh didapati antaranya di Filipina, Singapura dan New Zealand. Ia hanya mula memasuki pasaran negara ini pada April lalu.

Jenama ini mendapat sambutan kerana ia diinspirasikan daripada fesyen 'high-street' dan mudah untuk digayakan.

Himpunan ronanya versatil dan fleksibel kerana jenama ini percaya bahawa tiada syarat diperlukan untuk penggayaan mekap. Jadi, wanita sepatutnya berseronok mencuba dan menggayakan pelbagai warna untuk mendapatkan penampilan yang diidamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:05 AM