RADIANCE Agrotech akan membawa masuk 18,000 lembu baka Brazil sebagai permulaan pada tahun ini.
RADIANCE Agrotech akan membawa masuk 18,000 lembu baka Brazil sebagai permulaan pada tahun ini.
Sri Ayu Kartika Amri


Rawang: Radiance Agrotech Sdn Bhd berada di landasan tepat  untuk membangunkan ekosistem lengkap segmen bekalan daging lembu untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dengan memperuntukkan pelaburan berjumlah RM1.1 bilion bagi tempoh lima tahun.

Pengerusi Eksekutifnya, Dr Mohd Ezman Zamani berkata, berikutan kekurangan bekalan dan Malaysia terpaksa bergantung dengan 78 peratus daging lembu import, pihaknya optimis untuk menjadi antara pemain utama dalam memastikan bekalan daging lembu segar di negara ini mencukupi.

Beliau berkata, melalui pelaburan yang diterima daripada pelabur tempatan dan antarabangsa, Radiance Agrotech akan membina ladang ternakan berskala besar di Tanjung Malim dan Tapah, Perak.

Katanya, pihaknya akan membawa masuk 18,000 lembu baka Brazil sebagai permulaan pada tahun ini.

"Menerusi projek yang sudah bermula secara berperingkat ini, kami menjangkakan bukan saja membantu meningkatkan bekalan daging tempatan, malah dapat mengurangkan harga sehingga 10 ke 20 peratus, memandangkan semua proses dilaksanakan Radiance Agrotech.

"Kami melihat harga pasaran daging lembu segar mampu berkurang sehingga 20 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, berbanding sekarang.

"Kami juga akan mewujudkan ekosistem lengkap di mana tiada lagi campur tangan orang tengah dalam usaha untuk memberi harga berpatutan kepada orang ramai dan menjual daging segar secara terus melalui kedai Redi Meat yang akan kami wujudkan di seluruh negara," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, ketika ini Radiance Agrotech sudah mempunyai ladang ternakan dan pusat penyembelihan di Bangi, Selangor dan Labis, Johor.

Mohd Ezman berkata, Radiance Agrotech Sdn Bhd adalah anak syarikat Radiance Assets iaitu syarikat pelaburan patuh syariah dengan mandat melabur dan membina penyelesaian inovatif yang mampan.

Beliau berkata, pengurusan Radiance Assets memiliki pendedahan meluas dalam pelbagai industri bermula dengan perniagaan tradisi seperti pertanian sehingga kepada penyelesaian teknologi canggih iaitu analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan teknologi kewangan (fintech).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 1:29 PM