Mohd Ezman (dua dari kiri) dan Ahmad Fuzi (tengah)r pada majlis pecah tanah projek pusat pemerhatian astronomi di HSBM.
Mohd Ezman (dua dari kiri) dan Ahmad Fuzi (tengah)r pada majlis pecah tanah projek pusat pemerhatian astronomi di HSBM.

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan teknologi, Radiance Assets Berhad bukan sahaja rancak merancang aktiviti pembangunan perniagaannya di negara ini tetapi akan terus aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai medan terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran.

Pengerusi Eksekutif Radiance Assets, Dr Mohd Ezman Zamani berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan membina sebuah pusat pemerhatian astronomi yang bernilai RM250,000 di Pulau Pinang.

Menurut beliau, pusat itu akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

"Pusat ini bakal dikenali sebagai Pusat Pemerhatian Astronomi Tun Ahmad Fuzi sempena nama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

"Kita percaya dengan adanya pusat pemerhatian ini, ia dapat menarik minat lebih ramai pelajar bagi menceburi bidang astronomi pada masa akan datang.

"Melalui program turun padang ini, ia memberi peluang kepada kami untuk menyelami sendiri permasalahan dan denyut nadi masyarakat khususnya yang memerlukan bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Majlis Pecah Tanah untuk projek pusat pemerhatian astronomi itu telah disempurnakan oleh Ahmad Fuzi di HSBM kelmarin.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah sesi penyerahan cek tajaan bernilai RM250,000 oleh Radiance Assets yang diberikan kepada alumni sekolah tersebut melalui Presiden Alumni HSBM, Datuk S. Kulasegaran.

Majlis itu juga diadakan sempena Hari Gabenor HSBM iaitu sebagai penghargaan kepada Ahmad Fuzi yang menjadi alumni pertama sekolah itu bergelar Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mohd. Ezman Zamani, berkata ilham bagi membina pusat pemerhatian itu tercetus susulan minat mendalam Ahmad Fuzi terhadap astronomi serta aplikasi sains dan teknologi untuk pembangunan.

Susulan itu, beliau berkata, HSBM, alumninya serta Persatuan Astronomi Pulau Pinang mencadangkan bagi membangunkan pusat berkenaan di sekolah itu dan ia disokong penuh Ahmad Fuzi.

"Kerja-kerja pembinaan sebenarnya boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja ketika ini, namun bergantung kepada pihak kontraktor selepas mereka dilantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 9:10 PM