GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pembukaan berperingkat sektor ekonomi dilihat memberi nafas baru kepada unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara antara 3.0 ke 4.0 peratus selepas melalui perkembangan tidak memberangsangkan pada suku pertama dan kedua tahun ini.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah komponen utama kepada ekonomi iaitu 60 peratus majikan kepada tenaga kerja negara, 38 peratus kepada KDNK dan 90 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar.

Katanya, jika dikaji senarai perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula di negeri yang berada dalam Fasa 2, semua membabitkan PKS terutama sektor runcit.

"Peniaga PKS ini terpaksa menutup operasi mereka secara bersemuka sejak awal Jun 2021 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.

"Selepas hampir tiga bulan, kebenaran kerajaan cukup bererti kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk mencari nafkah keluarga.

"Sudah pasti mereka yang diberi kebenaran semula ini akan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya kerana jika berlaku jangkitan maka perniagaan mereka yang baru bernafas akan sia-sia sahaja," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dari sudut keperluan pula, pengguna sememangnya ternanti-nanti bila mereka boleh melakukan aktiviti yang dihentikan sementara sebelum ini seperti menggunting rambut dan mencuci kereta.

Dr Aimi Zulhazmi
Dr Aimi Zulhazmi

Dr Aimi Zulhazmi berkata, ini adalah berita yang menggembirakan selepas dua bulan lebih tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan masing-masing.

Beliau berkata, agensi kerajaan juga boleh memberikan bantuan kewangan seperti modal pusingan kepada peniaga PKS ini, kerana mereka sudah lama menutup perniagaan dan memerlukan modal permulaan membeli barang asas, deposit, sewa, fasiliti serta pelbagai kemudahan yang penting untuk berniaga semula.

"Kebenaran ini juga menguatkan kembali rantaian nilai dalam sektor peruncitan, seperti logistik.

"Misalnya, kebenaran pusat pengedaran dan jualan kereta, di mana rantaian nilai dari pembuat komponen, pemasangan, logistik, penjualan kereta kembali menceriakan industri pemotoran.

"Kebimbangan mengenai jangkitan berlaku tetap ada, tetapi kalau dikaji ia akan menggesa masyarakat untuk meningkatkan jumlah yang diimunisasi supaya dapat mengawal jangkitan dan kadar kematian.

"Arahan kerajaan untuk membenarkan pengoperasian kilang mengikut kadar peratusan pekerja yang lengkap diimunisasi juga adalah langkah terbaik bagi memastikan selepas ini sektor ekonomi dapat dibuka sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:01 AM