GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk aktif semula serta membantu menurunkan kadar pengangguran.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kira-kira 1.1 juta PKS di seluruh negara, majoritinya di Lembah Klang.

Katanya, ini adalah suntikan utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk kembali mencapai unjuran KDNK oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 3.0 hingga 4.0 peratus.

"Oleh itu, pembukaan banyak sektor selepas Fasa 2 PPN membantu PKS menjana ekonomi dan memastikan kadar pengangguran turun semula apabila ia sudah mencatatkan kadar tertinggi pada Jun lalu iaitu 4.8 peratus.

"Justeru, kebenaran negeri di Lembah Klang untuk beralih ke Fasa 2 memberikan nafas baru kepada pemulihan ekonomi negara suku akhir 2021.

"Apatah lagi sumbangan ekonomi di Lembah Klang yang melebihi 40 peratus kepada KDNK negara menjadikannya antara satu solusi utama dalam fasa pemulihan negara," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sejak awal 2021 lagi sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 diadakan bermula dengan negeri di Lembah Klang, kesan kepada kegiatan ekonomi negara sangat jelas, dengan pemulihan secara kumulatif -2.0 KDNK sehingga Jun lalu.

Beliau berkata, Lembah Klang adalah enjin ekonomi negara dan menempatkan pelbagai sektor yang penting seperti perkilangan dan perkhidmatan serta mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan padat kira-kira 10 juta orang serta mempunyai kuasa beli yang tertinggi.

Selain itu, kebanyakan syarikat besar seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) serta agensi kerajaan berpusat di Lembah Klang.

"Sudah pastilah pembukaan ekonomi melalui Fasa 2 adalah selari dengan kemajuan pengurangan jangkitan harian dan penurunan indikator seperti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU).

"Ini adalah langkah tepat kerana kita perlu belajar hidup seperti biasa dan menerima hakikat ancaman varian Covid-19 tidak akan mudah pergi begitu saja.

"Ini dikatakan kita memasuki fasa endemik dan ekonomi memerlukan masa untuk pulih terutama sekali nilai rantaian dalam pelbagai sektor ekonomi itu sendiri," katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, apabila ekonomi dibuka, maka peniaga kecil boleh merancang kegiatan mereka seperti mencari modal kerja, mengambil pekerja, melengkapkan peralatan dan sebagainya.

Beliau berkata, maksudnya ekosistem harus dibina semula dan mengambil masa.

"Apatah lagi kesan pandemik Covid-19 sangat panjang, ramai yang sudah hilang pendapatan, sama ada muflis, atau hilang kerja.

"Ekonomi ini bukan seperti suis lampu boleh ditutup atau dibuka, tetapi lebih kepada air paip yang perlu dikawal alirannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 12:53 PM