MAMALIA herbivor yang hanya makan daun dan buah-buahan sahaja.
MAMALIA herbivor yang hanya makan daun dan buah-buahan sahaja.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini@nstp. com. my

SELAMA tiga generasi, populasi Tapir Malaya dipercayai menurun lebih daripada 50 peratus kerana habitat asalnya digunakan untuk penanaman kelapa sawit dan pelbagai aktiviti pembangunan manusia.

Dengan baki kira-kira 1,300 ekor, satu-satunya spesies tapir di Asia itu kini dikategorikan sebagai spesies terancam dan kebanyakan populasinya wujud dalam kawasan yang dilindungi dalam hutan.

Tapir Malaya atau nama saintifiknya Tapirus Indicus adalah haiwan yang biasanya hidup bersendirian, ia pemalu dan suka mengelak dari ditemukan serta mempunyai jangka hayat selama 30 tahun.

Selain itu, Tapir Malaya juga mempunyai kaitan rapat dengan kuda dan badak sumbu serta sejenis mamalia herbivor yang hanya makan daun atau buah-buahan.

Untuk itu, pokok adalah penting kepada kehidupan haiwan berkenaan.

Tapir mengeluarkan biji benih buah-buahan bermusim yang dimakan (dalam najisnya) dan ia secara tidak langsung menyemai serta menyebarkan biji benih itu kembali ke fauna, sekali gus membantu menjadikan alam sekitar lebih mampan secara semula jadi.

Justeru, bagi membantu memulihara Tapir Malaya, Canon bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menanam pokok di habitat semula jadinya menerusi inisiatif, One Canon One Tree.

Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Tapir Malaya dan statusnya dalam ekosistem kita.

Menerusi inisiatif itu, jenama berkenaan menanam sebatang pokok bagi setiap komen unik yang dihantar orang ramai di laman media sosial mereka.

KOH menanam pokok di Pusat Konservasi Tapir di Sungai Dusun.
KOH menanam pokok di Pusat Konservasi Tapir di Sungai Dusun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh berkata, pihaknya gembira dapat menyumbang terhadap usaha pemuliharaan dan menjadikan alam sekitar lebih mampan, bukan sahaja untuk habitat tapir, tetapi juga mengembalikan kehijauan bumi.

Kata Koh, usaha berterusan itu dapat membantu menjadikan alam sekitar lebih hijau untuk manusia dan hidupan liar yang terancam seperti Tapir Malaya, seterusnya mengembalikan keseimbangan alam.

"Ia adalah sebahagian daripada misi kami untuk meneruskan kempen ini bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati keindahan semula jadi Malaysia seperti yang kita nikmati sekarang," katanya.

Sesuai dengan falsafah Kyosei, jenama itu memberi penekanan terhadap keseimbangan antara tanggungjawab syarikat kepada komuniti dan alam sekitar selain kepentingan perniagaannya dengan bekerjasama untuk mencapai manfaat yang dapat dikongsi bersama.

Sejak 2016, inisiatif One Canon One Tree menyumbang ribuan pokok sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya terhadap pemuliharaan alam sekitar dan membina alam sekitar yang mampan untuk generasi akan datang.

CANON komited terhadap usaha pemuliharaan dalam menjadikan alam sekitar lebih mampan.
CANON komited terhadap usaha pemuliharaan dalam menjadikan alam sekitar lebih mampan.

Sebelum ini, jenama itu turut memberi sokongan terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam dalam usaha membantu bandar raya berkenaan mencapai status karbon rendah.

Sehingga kini, lebih 8,000 pokok ditanam sepanjang tempoh kempen tahunan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MNS, I S Shanmugaraj berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama itu demi menjaga alam sekitar.

"Dengan sokongan pihak swasta seperti Canon, spesies pokok yang relevan dapat ditanam.

"Ia akan membantu mempercepatkan Program Pemuliharaan Tapir dan menyediakan bekalan makanan jangka panjang yang mampan untuk haiwan itu yang menjalani rehabilitasi di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Sungai Dusun, Selangor," katanya.

MNS yang diasaskan pada 1940 adalah organisasi alam sekitar bukan kerajaan yang terbesar dan tertua di Malaysia.

Fokus menyeluruh MNS adalah terhadap pemuliharaan habitat yang pelbagai di negara ini dan melindungi warisan dan ekologi negara

MNS memulakan program pemuliharaan tapir pada 2012 di mana ia menggunakan Hari Tapir Sedunia yang diraikan pada 27 April setiap tahun sebagai platform untuk mendidik orang ramai mengenai haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:40 AM