Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PERMINTAAN tinggi terhadap buah kurma atau tamar setiap kali tibanya Ramadan berikutan menjadi antara juadah 'wajib' ketika berbuka puasa atau bersahur turut dapat dimanfaatkan menerusi pembuatan kopi daripada biji buah berkenaan.

Perkara itu dikongsi usahawan pokok kurma, Mohd Syful Rizan Abd Manap, 38, yang menegaskan pembuatan serbuk kopi daripada biji kurma tidak memerlukan proses yang rumit sebaliknya dapat dilakukan hanya dari dapur rumah.

Katanya, berbeza dengan serbuk kopi yang lazimnya boleh dibeli, kopi biji kurma yang dihasilkan sendiri terjamin dari segi khasiat perubatan yang dikatakan berupaya membantu mengawal beberapa penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi selain melancarkan peraliran darah.

Beliau berkata, khasiatnya dipercayai terletak pada rahsia buah kurma itu sendiri yang dianggap sebagai 'makanan sunah' selain proses pembuatannya tidak menggunakan sebarang perasa tambahan berbanding serbuk kopi yang lazim dikomersialkan.

Selain itu, kopi biji kurma juga tidak mengandungi kafein, walaupun aroma serbuk kopi yang terhasil mirip kepada bau kopi dijual di pasaran.

Menceritakan proses membuatnya, bapa lima anak itu berkata, biji kurma sebaiknya diasingkan mengikut spesies sebelum dicuci daripada sisa buah dan kotoran serta direndam semalaman bagi membuang selaput dan lapisan yang menyelaputi biji terbabit.

KOPI biji kurma yang dihasilkan Syful Rizan.  FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KOPI biji kurma yang dihasilkan Syful Rizan. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SEBELUM dikisar menggunakan mata kisaran kering, biji kurma juga mesti dipastikan dalam keadaan rapuh.  FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SEBELUM dikisar menggunakan mata kisaran kering, biji kurma juga mesti dipastikan dalam keadaan rapuh. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Selepas itu, biji berkenaan perlu dicuci sekali lagi bagi memastikan selaput dan lapisan terbabit benar-benar tertanggal sebelum ia dijemur satu hingga tiga jam.

Ia kemudian digoreng dalam kuali secara 'tohor' tanpa menggunakan minyak antara 20 sehingga 30 minit hingga rapuh, bergantung kepada cita rasa yang dikehendaki peminumnya.

"Sepanjang proses menggoreng, biji terbabit perlu sentiasa dikacau supaya semua tidak hanya bahagian bawah yang 'masak' atau menjadi hitam. Seterusnya dibiarkan menyejuk sebelum dikisar menggunakan mata kisaran bahan kering sehingga menjadi serbuk halus.

"Bagi anda yang gemarkan minuman sedikit rasa lemak, penggorengan dilakukan sehingga biji kurma terbabit menjadi separuh masak atau separuh kehitaman. Penentu bagi memastikan ia sudah 'masak' dan boleh dikisar adalah berpandukan kepada biji yang asalnya keras bertukar rapuh.

"Sebaliknya bagi kopi tanpa rasa lemak, penggorengan dilakukan sehingga keseluruhan biji kurma bertukar hitam seakan warna arang," katanya di Kampung Sayong Hulu, Kuala Kangsar, Perak itu.

SEBELUM dikisar, biji kurma mesti digoreng tanpa menggunakan minyak dengan saiz api sederhana.  FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SEBELUM dikisar, biji kurma mesti digoreng tanpa menggunakan minyak dengan saiz api sederhana. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Syful Rizan berkata, bagaimanapun serbuk kopi yang dihasilkan tidak meresap sebati sepenuhnya apabila dibancuh dengan air memandangkan bijinya digoreng tanpa langsung diadun dengan bahan sokongan pembuatan kopi biasa seperti mentega, gula atau garam.

"Namun kopi biji kurma tetap dapat diadun mengikut kreativiti dan cita rasa tersendiri termasuk menggunakan pemanis berkhasiat seperti madu, gula melaka, stevia atau gula perang.

"Berdasarkan penelitian saya, kopi biji kurma masih baharu dalam pasaran Malaysia berbanding negara jiran seperti Indonesia di mana individu berusia 40 tahun ke atas yang lazimnya mengamalkan pengambilan kopi itu susulan gangguan kesihatan yang mula dialami.

"Biarpun menyedari hal ini sejak 2013, saya hanya mencuba dan berani berkongsi mengenai khasiat pengambilannya beberapa tahun selepasnya mengalami sendiri perubahan terutama ketika membuang air besar selain menambah tenaga," katanya.

SYFUL Rizan menunjukkan anak pokok kurma yang disemai di laman rumahnya. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SYFUL Rizan menunjukkan anak pokok kurma yang disemai di laman rumahnya. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 7:01 AM
BIJI kurma dipanggang (digoreng) separuh hangus (kanan) memberikan rasa sedikit berlemak berbanding yang dipanggang sehingga hangus atau hitam. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
BIJI kurma dipanggang (digoreng) separuh hangus (kanan) memberikan rasa sedikit berlemak berbanding yang dipanggang sehingga hangus atau hitam. FOTO & VIDEO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri