Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


LELAKI dijatuhi hukuman empat tahun penjara di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini selepas mengaku bersalah menganiayai anak kandungnya sendiri secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, R Kalidassan, 31, didakwa menganiayai anak kandung perempuannya berusia lapan tahun ketika itu dengan memukul menggunakan tongkat diperbuat daripada kayu rotan sehingga mengakibatkan kecederaan di kepala serta tangan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah di Kampung Veerasamy, Sungai Siput 1.20 petang 28 Mac lalu yang melanggar peruntukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa berkali-kali sehingga kepala mangsa berlumuran darah dan mangsa menerima enam jahitan di kepala, selain bengkak di bahagian berkenaan serta siku kanan.

Tindakan itu dilakukan selepas tertuduh berang dengan kelakukan mangsa yang mengeluarkan kata kesat sewaktu bermain-main dengan beberapa adik mangsa yang juga anak kepada tertuduh.

Hasyutantee berkata, hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh sebutan pertama kes itu iaitu pada 12 Jun lalu.

TERTUDUH (baju merah) dibawa keluar dari Mahkamah Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH (baju merah) dibawa keluar dari Mahkamah Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 1:56 PM