MOHD Rizuan menunjukkan kopi cap Cik Yop.
MOHD Rizuan menunjukkan kopi cap Cik Yop.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Keputusan pemuda ini menyambung perusahaan memproses kopi serbuk di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu milik keluarganya ternyata tepat apabila kopi cap Cik Yop yang dikeluarkan sejak 30 tahun lalu kekal mendapat sambutan.

Berikutan permintaan yang agak tinggi dalam kalangan peniaga runcit di sekitar daerah ini, Mohd Rizuan Ibrahim, 33, bersama ibu saudaranya, Tuan Meriam Syed Ibrahim, 49, terpaksa memproses serbuk kopi itu sekurang-kurangnya 40 kilogram (kg) sehari.

Mohd Rizuan berkata, dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 bungkus serbuk kopi sebulan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang terdiri daripada peniaga kedai runcit di daerah Kuala Terengganu.

“Memandangkan tenaga kerja hanya dua orang, kami tidak mampu mengeluarkan produk itu melebihi jumlah kebiasaan biarpun ada permintaan dari daerah lain.

“Kopi Cik Yop ialah kopi tradisional turun- temurun yang diusahakan arwah nenek, Midah Musa, bapa dan kini diusahakan saya bersama ibu saudara, oleh itu jumlah pengeluaran serbuk kopi itu terhad.

“Bagaimanapun melalui pengeluaran sekarang, ia sudah memadai dan berbaloi untuk kami meneruskan perusahaan tradisional itu,” katanya.

Mohd Rizuan berkata, selepas 16 tahun menjalankan perusahaan itu hingga terpaksa melupakan hasratnya menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT), dia langsung tidak menyesal malah berasa bertuah kerana terbabit dengan perusahaan berkenaan.

MOHD Rizuan memasukkan kopi ke dalam mesin pengisar.
MOHD Rizuan memasukkan kopi ke dalam mesin pengisar.

“Jika saya menyambung pelajaran, belum tentu saya akan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian namun apabila terbabit dalam perusahaan memproses kopi, ia secara tidak langsung melatih saya berniaga.

“Memang semua tugas diuruskan sendiri, bermula dengan kerja memproses kopi hingga kepada tugas memasak dan membungkusnya. Ia nyata ilmu dan pengalaman yang sukar diperoleh daripada mana-mana pusat pengajian tinggi,” katanya.

Katanya, memproses serbuk kopi secara tradisional itu tidak semudah yang difikirkan kerana ia membabitkan beberapa langkah yang sangat cerewet, memerlukan kemahiran dan pengalaman tertentu.

“Kerja memproses kopi itu bermula seawal jam 6 pagi membabitkan proses menggoreng biji kopi, menyira air gula dan mencampurkannya dengan biji kopi yang sudah digoreng sebelum dikeringkan.

“Selepas kopi yang disira dengan air gula itu kering, ia akan dikisar dengan mesin pengisar pertama sebelum hasil itu dimasukkan pula ke dalam pengisar yang kedua seterusnya terjadinya serbuk kopi itu,” katanya.

Menurutnya, proses membuat kopi itu memerlukan kesabaran yang tinggi selain teknik mengawal api ketika proses menggoreng dan menyira kopi paling rumit serta penting. Biasanya kualiti serbuk kopi yang dihasilkan bergantung pada proses berkenaan.

PROSES memecahkan kopi disira dengan air gula yang sudah dikeringkan.
PROSES memecahkan kopi disira dengan air gula yang sudah dikeringkan.

“Proses membuat serbuk kopi itu dijalankan sepanjang tahun termasuk pada musim tengkujuh namun pada musim berkenaan jumlah pengeluaran akan dikurangkan kerana faktor cuaca menyebabkan proses menjemur biji kopi yang disira dengan air gula itu akan mengalami masalah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Meriam berkata, perusahaan memproses kopi itu diusahakan arwah ibu secara turun- temurun dan dia berasa bertanggungjawab untuk meneruskannya malah sambutan terhadap kopi yang dikeluarkan semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:52 PM