UMAT Islam Tanzania sentiasa mengharap syiar Islam semakin kukuh di negara itu.
UMAT Islam Tanzania sentiasa mengharap syiar Islam semakin kukuh di negara itu.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


JIKA bersandar maklumat di Wikipedia, angka penganut Islam di Tanzania, Afrika berjumlah sekitar 35 hingga 45 peratus daripada keseluruhan 58.6 juta penduduknya.

Angka itu bagaimanapun didakwa sengaja dimanipulasi apabila rata-rata penduduk Tanzania ditemu bual penulis mengatakan jumlahnya kini melebihi 50 peratus atau barangkali mencecah 65 peratus berbanding penganut Kristian dan kepercayaan animisme.

Syiar Islam di negara itu dikatakan terus bertapak kukuh sejak masjid tertua di Kizimkazi, selatan kepulauan Zanzibar, dibina pada 1007 Masihi.

Tanzania kerap dianggap negara Kristian sedangkan negara itu menjadi rumah bagi populasi penganut Islam terbesar di Afrika Timur.

Namun berbicara soal angka tidak memadai tanpa melihat sendiri kemudahan asas, sistem pendidikan Islam di peringkat rendah dan menengah serta dasar kerajaan dalam membantu penduduk Islam di situ.

Penulis tidak bermaksud membuat penyelidikan analitikal, namun cukup untuk menggambarkan situasi sebenar Islam di Tanzania sepanjang 10 hari menjelajah pelosok negara berkeluasan 947,303 kilometer persegi ini.

Berdiskusi dengan pensyarah Muslim University of Morogoro, Dr Issa Omar Malecela, katanya kepayahan dan realiti pahit dihadapi masyarakat Islam negara itu.

“Kami tidak ditindas pemerintah... kami bebas mengamalkan Islam. Bagaimanapun, naratif yang mahu dijelaskan mungkin disalah tafsir seolah-olah memburukkan kerajaan.

“Apa yang berlaku adalah kurangnya dana (kerajaan Tanzania) disalurkan untuk kemudahan asas berkaitan pendidikan Islam di sini. Kebiasaannya masyarakat Islam Tanzania perlu mencari sumber kewangan sendiri bagi pembinaan sekolah agama, masjid atau surau dan menghantar anak mendapatkan pendidikan agama,” kata bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Menurutnya, situasi ini bukanlah diskriminasi agama, namun ‘amalan’ sekian lama kecuali di Pulau Zanzibar yang ditadbir sepenuhnya pemerintah Islam.

“Untuk memasuki sekolah rendah agama swasta, ibu bapa perlu menyediakan wang yuran sekurang-kurangnya Tanzanian Shilling 166,800 (RM300) untuk setahun.

“Kosnya meningkat kepada Tanzanian Shilling 361,400 (RM650) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Ini bukan mudah kerana ramai rakyat hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Kesempatan penulis melawat sekolah agama berasrama, Chamazi Pre & Primary School kira-kira 20 kilometer dari ibu kota, Dar es Salaam membuktikan isu kedaifan pendidikan Islam dinyatakan itu.

Sekolah yang menempatkan kira-kira 200 pelajar perempuan dan lelaki ini tampak usang dengan keadaan kelas tanpa kemudahan kipas selain dipenuhi kerusi meja lapuk.

KEADAAN bangunan dan kelas di sekolah Chamazi Pre & Primary School yang serba daif.
KEADAAN bangunan dan kelas di sekolah Chamazi Pre & Primary School yang serba daif.

Malah tidak kelihatan wujudnya makmal sains, komputer, perpustakaan atau kemudahan setaraf sekolah berasrama penuh di Malaysia. Apa yang kelihatan hanyalah kitab dan buku usang di gerobok.

Lebih menyedihkan apabila masjid yang mula dibina dua tahun lalu untuk kemudahan pelajarnya masih terbengkalai susulan kekurangan dana.

Melangkah melewati bangunan asrama pelajarnya, penulis melihat deretan katil dan tilam buruk tanpa almari.

Kumpulan penghuni lelakinya dilihat mengerumuni periuk besar berisi teh suam untuk dicicah roti kosong sebagai hidangan minum petang.

Mudir sekolah itu, Abdullah Musa Ngirini, 50, berkata, pengurusan sekolah itu dihambat isu kewangan yang merencat pembangunan pusat pendidikan dibuka sejak 2006.

Menurutnya, sumbangan dana oleh syarikat swasta semakin menyusut hingga menyebabkan biasiswa diberikan kepada pelajar tidak mampu diteruskan.

Situasi sama turut dialami sebuah sekolah rendah agama, Nuruul Huda Islamic Center yang dilihat tidak ubah seperti ‘reban ayam.’ Lebih 200 pelajar didapati duduk berasak-asak di lantai kelas kecil tanpa meja dan buku latihan.

Pengetuanya, Sheikh Jangwa memaklumkan majoriti muridnya anak petani miskin yang diberikan pendidikan percuma oleh empat guru bertugas tanpa gaji.

“Tiada peruntukan khas kerajaan, kami hanya mengharapkan derma masyarakat untuk menampung operasi. Kami gunakan wang itu untuk memasak makanan sebelum diberikan kepada pelajar yang sentiasa kelaparan,” katanya.

Penulis kemudian menuju ke wilayah pedalaman Morogoro sebelum singgah ke Muslim University of Morogoro. Ia satu-satunya universiti Islam di negara ini yang menempatkan hampir 2,000 penuntut Islam.

Timbalan Naib Canselor universiti itu, Dr Salum Hajj berkata, pihak universiti cuba membantu seramai mungkin pelajar (melalui kaedah pembayaran ansuran) biarpun isu kewangan mencengkam. Malah universiti kini berdepan krisis kewangan tenat selepas bantuan dana pendidikan disalurkan sebuah negara Timur Tengah dihentikan.

Ternyata wujud duri membelenggu institusi pendidikan Islam di Tanzania yang menjadi halangan penyebaran syiar dan syariat Islam di negara itu biarpun majoriti penduduk Islamnya terus bertambah.

Malah rata-rata masjid atau surau di kawasan pinggir kota dan pedalaman Tanzania berada dalam keadaan cukup daif tanpa sejadah serta bekalan air paip.

Situasi itu turut mendapat perhatian Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan yang tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi membangunkan beberapa sekolah agama di sana selain sumbangan ratusan kitab al-Quran yang amat diimpikan pelajar miskin.

Malah hasil sedekah jariah diperoleh, MCM turut mampu menampung kos baik pulih rumah anak yatim Islam Raya Islamic didiami lebih 50 kanak-kanak malang.

Usaha itu turut disokong pengerusi Sinar Korban Services, Dr Rahmat Abdullah yang saban tahun melakukan ibadat korban dan aqiqah di negara itu hasil amanah rakyat di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 12:08 PM