TANGKI air disumbangkan rakyat Malaysia kepada sekolah dan rumah anak yatim di Tanzania, Afrika.
TANGKI air disumbangkan rakyat Malaysia kepada sekolah dan rumah anak yatim di Tanzania, Afrika.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SUKAR dinafikan apabila umat Islam Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dan gemar membantu golongan miskin melangkaui sempadan benua.

Ini dibuktikan apabila sumbangan wang daripada rakyat Malaysia turut digunakan sepenuhnya bagi membangunkan sekolah agama di Tanzania, Afrika.

Ternyata hasil kutipan dikumpulkan pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) membantu tiga sekolah di Tanzania, Afrika memiliki pam dan tangki air bagi kegunaan pelajarnya.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, usaha itu bertitik tolak misi kemanusiaan dilakukan pihaknya ke negara itu Ogos tahun lalu.

Menurutnya, melalui usaha itu Muslim Care disertai wakil Badan Kebajikan Islam Petronas, Hishamuddin Ibrahim mengenal pasti keperluan mendesak dua sekolah dan sebuah rumah anak yatim islam di kawasan pedalaman Morogoro, Tanzania.

“Sekolah Pendidikan Islam Chamazi dan sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic di Dar es Salaam serta rumah anak yatim ini tidak mendapat peruntukan khusus dari kerajaan untuk beroperasi selain mengharapkan sepenuhnya derma daripada masyarakat setempat,” katanya.

Dia berkata, ketiga-tiga pusat pendidikan itu didapati tidak memiliki kemudahan tangki dan pam air sekali gus menyebabkan pelajarnya bergantung bekalan air perigi.

“Sebaik pulang ke Malaysia, kami memulakan usaha mengumpulkan dana bagi membantu sekolah dan rumah anak yatim itu,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya wang RM10,000 berjaya dikumpulkan melalui sumbangan masyarakat prihatin seluruh Malaysia.

“Dengan bantuan pensyarah Universiti Islam Morogoro, Dr Issa Omar Malecela, wang derma itu digunakan untuk membeli tiga tangki air sebelum dipasangkan di tiga pusat pendidikan itu,” katanya.

Menurutnya, kemudahan itu sekali gus memudahkan pelajar mendapatkan bekalan air minuman selain kegunaan harian lain tanpa perlu bergantung pada perigi.

“Selain itu Muslim Care Malaysia akan menampung kos bagi pembinaan bumbung Pusat Anak Yatim Raya Islamic yang terbengkalai berikutan isu kesempitan kewangan. Seramai 40 penghuni dalam kalangan anak yatim mendiami rumah itu.

“Selain itu kami merancang membekalkan beberapa mesin jahit bagi membolehkan penghuni perempuan di rumah anak yatim itu dilengkapi kemahiran menjahit. Usaha ini akan diteruskan selepas bantuan sama diberikan kepada penduduk Islam di negara Chad, Afrika” katanya.

Hingga kini, Muslim Care membina berpuluh masjid dan pusat islam di luar negara antaranya Kemboja, Filipina, Jepun, New Zealand, Poland, Thailand, Chad, Gaza dan beberapa negara lain.

Bantuan sama turut diberikan kepada rumah anak yatim di dalam negara termasuk antaranya terletak di Bukit Beruntung, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 9:08 PM