Mohd Jamilul Anbia Md Denin


DAR ES SALAAM: Sempit dan sesak. Bahkan tiada sedikitpun ruang kecil yang membolehkan penulis untuk berdiri.

Itu situasi daif dialami sebuah sekolah agama di Tanzania yang kelihatan tidak ubah seperti ‘tin sardin’ sendat dalam keadaan pelajarnya berasak menimba ilmu.

Seramai 150 pelajarnya terpaksa duduk berhimpit di dalam tiga kelas kecil tanpa kemudahan kerusi atau meja. Malah mereka hanya mampu berlutut atau duduk bersila di lantai kelas tanpa beralaskan tikar.

Faktor kemiskinan dan kekurangan dana menyebabkan pemilik sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic ini tidak mampu menyediakan persekitaran pembelajaran sempurna kepada pelajarnya.

KEADAAN kelas  sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic yang serba daif dan memuatkan 150 murid.
KEADAAN kelas sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic yang serba daif dan memuatkan 150 murid.

Sepanjang tempoh berada di sekolah ini, penulis mendapati dinding kelas yang dicat hitam dijadikan sebagai papan tulis untuk mengajar murid-murid ini.

Rata-rata murid daripada keluarga kurang berkemampuan ini diajar ilmu Fardu Ain, menghafaz al-Quran selain membaca dan mengira.

Ternyata rasa dahagakan ilmu agama dan pengetahuan, menyebabkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun ini sanggup belajar berasak-asak di dalam kelas ‘stor’ ini.

Keadaan menjadi kurang selesa ketika waktu menginjak jam 2 petang apabila bahang panas mentari mulai dirasai di dalam kelas tanpa kemudahan kipas angin itu.

Bagi majoriti pelajar ini, memiliki buku, alat tulis dan al-Quran adalah impian mereka walaupun ia tampak mustahil untuk disediakan.

Menyelami isi hati pemilik dan pengetua sekolah itu, Sheikh Jangwa, jelas dia terus bersemangat untuk menabur bakti dan memberikan pendidikan percuma kepada semua semua anak-anak kecil itu.

“Tugas ini (mengajar) adalah satu ibadah dan dalam memastikan generasi muda Islam di Tanzania menjadi golongan celik al-Quran, mengamalkan ajaran Islam selain boleh menulis dan membaca.

  WAKIL dari  Malaysia yang menyerahkan sumbangan  al-Quran.
WAKIL dari Malaysia yang menyerahkan sumbangan al-Quran.

“Kebanyakan murid ini belajar di sekolah kerajaan pada waktu pagi sebelum menyambung sesi pembelajaran di sekolah agama ini pada waktu petang,” katanya.

Menurutnya, sistem pengajaran sekolah agama itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu pendidikan rendah, pendidikan menengah dan tahfiz.

“Ada tujuh guru tetap mengajar di sekolah ini secara sukarela dan tidak dibayar gaji tetap bulanan.

“Ini kerana kami tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan hanya bergantung kepada derma orang ramai. Jika ada wang lebih, barulah diagihkan kepada guru yang mengajar,” katanya ketika menerima kunjungan ketika menerima sumbangan Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan dan pengelola Sinar Korban Services, Ustaz Dr Rahmat Abdullah.

Sebanyak 101 al-Quran disumbangkan kepada pusat pendidikan itu selain bantuan kewangan hasil sedekah dari rakyat Malaysia.

Menurutnya, kemiskinan juga bukan halangan untuknya menyediakan masakan ringkas bagi pelajarnya mengisi perut setiap hari.

“Saya berikan mereka nasi kerana ada antara pelajar datang ke sekolah dengan perut kosong. Malah kebanyakan mereka hanya berkaki ayam dan memakai baju yang sama setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:21 AM
MURID miskin  sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic di pedalaman Tanzania yang mengharapkan bantuan untuk meneruskan pendidikan.
MURID miskin sekolah agama Nuurul Hudaa Islamic di pedalaman Tanzania yang mengharapkan bantuan untuk meneruskan pendidikan.