TIGA selebriti (dari kiri) Usop Kopratasa, Adnan Othman dan Zul Handy Black meriahkan pameran dengan lukisan mereka.
TIGA selebriti (dari kiri) Usop Kopratasa, Adnan Othman dan Zul Handy Black meriahkan pameran dengan lukisan mereka.
Zaitie Satibi


DI sebalik lakonan mantap, alunan suara dan ciptaan bait kata indah, jari-jemari insan seni ini juga mampu melakar lukisan terindah serta membuat arca.

Sebagai peminat, kita hanya mengenali mereka sebagai pelakon, penyanyi, pemuzik, pelawak, penggubah lagu mahupun penulis lirik. Namun, bakat yang ditonjolkan ibarat lapisan di permukaan. Semakin digali lapisan itu, ternyata karya seni mereka melangkaui pelbagai gaya kreativiti.

Menerusi Pameran Seni Visual Berkumpulan: Artis@Pelukis anjuran Galeri Shah Alam, ia menonjolkan sisi lain 16 selebriti tanah air yang menghasilkan 84 lukisan dan dua arca serta dipamerkan kepada umum mulai 15 Julai hingga 23 Ogos ini.

Artis atau pelukis yang mempamerkan karya mereka ialah Imuda, Ebby Yus, Dinie Juri, Wan Raja, Joey Daud, Datuk Khai, Sani Sudin, Rose Ismail, Sabri Yunus, Umarul Iklim, S Amin Shahab, Yaya Maembong, Usop Kopratasa, Zul Handy Black dan Fathullah Luqman.

Kita mungkin mengenali Zul Handy Black sebagai penyanyi kumpulan rock sebelum menceburkan diri dalam dunia lakonan. Namun, tidak ramai yang tahu selebriti ini sebenarnya bermula sebagai pelukis jalanan dan menjadikan kaki lima di perhentian bas Terminal One, Seremban sebagai tempat mencari rezeki.

“Saya melukis sejak kecil dan menjadikan bakat seni ini sebagai punca pendapatan dengan mengambil upah melukis potret dan barangan cenderamata. Namun, ia terpaksa diperlahankan selepas bergelar artis rakaman dan komitmen melukis semakin berkurang apabila sudah berlakon.

ZUL Handy Black di Pameran lukisan Artis @ Pelukis di Galeri Shah Alam.
ZUL Handy Black di Pameran lukisan Artis @ Pelukis di Galeri Shah Alam.

“Malah, saya juga berhasrat memiliki galeri lukisan sendiri, tetapi disebabkan komitmen besar terhadap nyanyian dan lakonan menyebabkan impian itu tergantung. Saya kemudian melukis kembali selepas dipelawa Galeri Shah Alam untuk menyertai pameran.

“Saya sambut baik niat pihak berkenaan kerana saya sendiri mahu mengubah perspektif masyarakat terhadap artis terutama yang memiliki bakat melukis ini. Ini kerana, ramai yang tidak tahu segelintir pelakon atau penyanyi juga boleh melukis dengan baik,” katanya.

Dalam pameran ini, Mohd Yusof Ahmad dari kumpulan Kopratasa atau Usop Kopratasa yang dikenali dengan lagu puisi pelbagai tema termasuk cinta, ketuhanan dan masyarakat mempersembahkan enam siri lukisan berkonsepkan paku-pakis yang melambangkan alam Melayu.

“Bagi saya bereksperimen dengan muzik dan melukis masing-masing memerlukan imaginasi yang sama dalam usaha menghasilkan karya terbaik. Jika dalam muzik ada susunan dan rentak lagu, manakala dalam lukisan ada warna bagi menggambar sesuatu mood,” katanya.

Bagi penyanyi Pop Yeh-Yeh Adnan Othman yang mencipta nama sejak 1960-an dan diiringi kumpulan The Rhythm Boys, beliau aktif melukis sejak 2015 dan sering menyiapkan tempahan biarpun masih sibuk dengan undangan persembahan.

ADNAN Othman.
ADNAN Othman.

“Saya melukis sejak di bangku sekolah, tetapi tidak menjadikan ia sebagai kerjaya kerana pada masa dulu melukis dikatakan tidak menjanjikan peluang yang baik. Kemudian saya menceburkan diri dalam nyanyian dan menjadikan irama pop yeh yeh sebagai teras dalam bidang muzik.

“Tetapi, saya tidak mahu mensia-siakan bakat melukis yang ada lalu melanjutkan pelajaran di London dan bekerja sebagai pereka kasut sebaik pulang ke tanah air. Kini, saya kembali melukis dan sering menyertai pameran lukisan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 12:02 PM