Nurul Husna Mahmud


TIADA pencapaian lebih bermakna bagi artis arca dan lukisan, Alice Chang Oi Lai apabila dia berjaya mengetengahkan hasil kerja 10 artis tempatan yang juga anak autistik di Turin, Itali, baru-baru ini.

Kata Alice, setiap kali lukisan artis yang dibawanya terjual, segala kepenatan dan kepayahan dilalui dalam membimbing artis istimewa itu dirasakan sudah 'terbayar' dengan penghormatan masyarakat terhadap golongan itu.

Artis seni kelahiran Jerantut, Pahang itu bukan mudah untuk sampai ke tahap ini dan setiap cabaran termasuk menerbangkan sebahagian artis yang terbabit dalam pameran berlangsung juga suatu proses panjang.

"Artis autistik di bawah bimbingan saya mempunyai pelbagai karakter dan mereka sangat sensitif dengan perubahan persekitaran.

"Namun, bakat yang mereka ada itu pada saya membuatkan mereka jauh lebih menonjol. Karya artis autistik itu juga unik dan memiliki nilai eksentrik tersendiri.

"Atas dasar itu saya percaya karya dihasilkan golongan ini tidak kurangnya dengan artis profesional. Pertimbangan daripada hal itu, saya menggerakkan usaha untuk mengadakan pameran lukisan di luar negara menerusi kolaborasi strategik membabitkan agensi atau korporat tertentu.

"Hasrat itu tertunai 31 Mac lalu apabila perancangan disusun sejak awal tahun lalu yang mana artis autistik terbabit melalui beberapa proses saringan menerusi pemilihan orang ramai daripada pameran di Lembah Klang," katanya.

Pembabitan Alice bersama anak istimewa itu berlaku secara tidak langsung bermula dengan mengumpul hasil seni kanak-kanak autistik untuk pameran atau jualan amal.

"Saya terbabit dengan artis autistik sejak 10 tahun lalu bermula dengan kerja mengumpul karya mereka untuk pameran dan menyertai aktiviti amal dianjurkan pertubuhan atau sekolah berkaitan.

"Dalam proses itu saya tersentuh dengan salah satu karya artis bernama Ong Yong Da yang memiliki penceritaan tersendiri.

ALICE bersama artis autistik yang membuat pameran di Turin, Itali.
ALICE bersama artis autistik yang membuat pameran di Turin, Itali.

"Berdasarkan penceritaan ibu Ong Yong Da, baru saya tahu walaupun Ong Yong Da tidak mampu bercakap, tetapi mampu melukis dengan baik. Lukisan itu mewakili ekspresi yang tidak dapat dituturkan.

"Bertitik tolak dari itu saya tekad lebih serius membantu dan peluang itu dicapai apabila mendapat tawaran dari Pusat Jagaan Kanak-kanak Seri Eden untuk bimbing lapan kanak-kanak autistik berbakat," katanya.

Mengakui berdebar apatah lagi kata Alice, minatnya terhadap golongan itu banyak memudahkan perjalanan dalam membimbing kanak-kanak terbabit.

"Berdebar juga pada mulanya apatah lagi kawan saya gambarkan tindakan menerima tanggungjawab membimbing anak autistik seolah-olah mencari nahas.

"Mungkin pada fikiran dia, saya tiada sijil atau pendidikan membabitkan kepakaran menangani anak autistik.

"Saya 'redah' sahaja kerana berniat ingin membantu dan teruja mencungkil bakat kanak-kanak autistik. Setakat ini segalanya menjadi mudah," katanya.

Tambah Alice, kerja kerasnya dalam 'melentur' bakat seni anak autistik bukan usahanya seorang, sebaliknya sokongan ibu bapa dan komuniti antara penyumbang terbesar.

ALICE bersama kanak-kanak autistik melukis mural di Turin, Itali.
ALICE bersama kanak-kanak autistik melukis mural di Turin, Itali.

"Realiti bagi artis autistik, mereka perlu lebih sokongan dan perhatian terutama ahli keluarga sendiri untuk membolehkan mereka berdikari.

"Dua daripada artis terbabit dalam pameran di Turin juga sudah membuka galeri atau kedai lukisan dan ibu mereka bertindak sebagai pengurus.

"Hasil daripada usaha melatih artis autistik ini nilainya jauh lebih 'mahal' daripada harga karya saya terjual ribuan ringgit.

"Satu perkara yang saya tegaskan kepada ibu bapa artis ini supaya membuka akaun bank atas nama artis itu sendiri. Ia bertujuan membina keyakinan dan satu penghargaan untuk diri mereka," katanya.

Berkongsi perjalanan seninya sendiri kata Alice, dia bermula lewat dalam kerjaya sebagai artis arca dan pelukis iaitu di awal usia 40-an.

"Saya meniti kerjaya sebagai pelukis profesional sudah lewat kerana memiliki kerjaya dalam industri kecantikan.

"Hanya selepas berkahwin dan memiliki anak baru beralih kepada aktiviti melukis dan membuat arca. Menjual karya pula selepas sembilan tahun melukis kerana ketika itu masih mencari subjek atau identiti.

"Saya bernasib baik memiliki suami yang sangat menyokong dan percaya dengan bakat yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:00 AM