TUAN rumah menyediakan teh hijau.
TUAN rumah menyediakan teh hijau.
Fazurawati Che Lah

Di kebanyakan negara Asia Timur seperti Jepun, China dan Korea, teh bukan saja minuman, tetapi juga cabang seni warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Segala aspek yang berkaitan termasuk cara penyediaan, tatacara majlis dan adab tetamu untuk menikmati secawan teh disediakan tuan rumah mempunyai ritual serta kaedah tersendiri dengan nilai signifikasi budaya yang tinggi.

Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Pertama, mengambil peluang mendekati budaya meminum teh Korea ketika berada di Seoul, Korea Selatan apabila mengikuti program pertukaran budaya dan akademik, baru-baru ini.

Program Pertukaran Kebudayaan dan Pendidikan Antarabangsa (ICE) selama dua minggu itu ialah kerjasama yang dimeterai antara UM dan Universiti Sungshin, Korea Selatan melalui program pendek musim sejuk mereka membabitkan 35 mahasiswa UM.

PROSES penyediaaan teh.
PROSES penyediaaan teh.

Program ini antara lainnya bertujuan mendedahkan secara langsung budaya masyarakat Korea kepada mahasiswa yang terbabit melalui platform berbentuk akademik dan praktikal.

Ketua delegasi UM Mohamad Zarif Akmal Khairuddin, 21, berkata Universiti Sungshin yang ditubuhkan pada 1936 di Seoul, Korea Selatan mengadakan majlis meminum teh tradisional Korea yang turut dikenali sebagai dado khas untuk delegasi mahasiswa UM.

Katanya, majlis ini kebiasaannya diadakan oleh tuan rumah bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu ke kediamannya.

“Kedua-dua tuan rumah dan tetamu akan duduk menghadap satu sama lain dan tunduk kepada satu sama lain sebelum memulakan upacara meminum teh.

“Set teh tradisi selalunya mengandungi meja teh, teko, mangkuk, mangkuk penyejuk, piring, sudu teh, kuali teh dan mangkuk buangan. Proses penyediaan teh perlu dilaksanakan perlahan-lahan dengan tatacara yang penuh hormat,” katanya.

Menurut sejarah, upacara minum teh Korea diperkembang dan diperhalusi semasa Dinasti Joseon yang upacara khusus diikuti oleh keluarga diraja untuk majlis tertentu.

MAHASISWA lengkap berpakaian tradisi sebelum upacara minum teh.
MAHASISWA lengkap berpakaian tradisi sebelum upacara minum teh.

Selain itu, upacara minum teh juga menjadi tradisi sami Buddha di kuil mereka apabila mereka menanam sendiri pokok teh di persekitaran kuil.

Pada penghujung Dinasti Joseon, budaya minum teh mengikut tatacara khusus ini turut diikuti oleh rakyat biasa dengan mengambil kira elemen upacara yang dilaksanakan di istana dan kuil.

Kini, dado yang dipraktikkan boleh dikatakan sebagai upacara minum teh tradisi kebangsaan Korea yang diadakan pada majlis tertentu.

Menurut Mohamad Zarif Akmal, sepanjang proses penyediaan teh itu kelima-lima deria penglihatan, bau, rasa, pendengaran dan sentuhan perlu digunakan bagi menghasilkan teh terbaik untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Selepas siap, ia disajikan di atas kain pembalut tradisional Korea yang berwarna-warni (bojagi), bersama sedikit snek tradisional Korea yang diperbuat daripada kacang merah (dashik).

“Upacara teh ini adalah seni yang indah yang perlu dihargai dan diwarisi generasi muda,” katanya.

PESERTA bergambar kenangan semasa program itu.
PESERTA bergambar kenangan semasa program itu.

Program ICE memasuki tahun ketiga dan membawa mahasiswa UM meneroka pelbagai lokasi di Jepun dan Korea Selatan.

Program yang kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu ini membenarkan mahasiswa untuk memahami cara kehidupan penduduk negara yang dilawati supaya dapat dikongsi bersama mahasiswa lain dalam membina sifat positif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 2:02 PM