PEMANDANGAN memukau ladang teh hijau organik menjadi tarikan pelancong di Pulau Jeju.
PEMANDANGAN memukau ladang teh hijau organik menjadi tarikan pelancong di Pulau Jeju.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kali pertama menjejakkan kaki di Pulau Jeju, memang tidak tergambar keterujaan penulis menghayati panorama indah sepanjang perjalanan ke pulau terbesar terletak di selatan semenanjung Korea ini.

Biasanya kunjungan ke pulau ini mata pasti dijamu keindahan landskap alam yang mempesonakan antaranya hamparan indah Pantai Woljeong atau menaiki feri ke Pulau Udo mahupun mendaki puncak Seongsan Ilchulbong yang diiktiraf sebagai tapak warisan budaya UNESCO.

Tarikan pulau ini sudah tentu pada khazanah alam yang terhasil daripada letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun lalu.

Selain pelbagai destinasi menarik untuk dikunjungi, pengunjung pasti terpana dengan hamparan ladang teh hijau di Seogwang sekali gus memperlihatkan suburnya tanah gunung berapi di pulau itu.

Menariknya, ladang teh hijau Osulloc milik syarikat kecantikan Korea Selatan, Amorepacific itu asalnya adalah tanah terbiar yang berbatu di sebahagian besar Pulau Jeju dan diubah menjadi ladang teh hijau yang bebas racun dan haiwan perosak.

Berbekalkan tanah gunung berapi yang kaya mineral dan air bersih, ladang itu menghasilkan tanaman teh organik yang banyak memberi inspirasi kepada jenama gaya hidup menawarkan berpuluh-puluh jenis teh, makanan dan kosmetik.

Ladang ini dikatakan ketiga terbesar di dunia dan menjadi satu-satunya kebun teh yang dikembangkan untuk kosmetik di bawah syarikat itu.


Jenama teh terbesar di Korea Selatan dan juga terkenal di seluruh dunia itu turut menggabungkan semua proses berkaitan teh yang merangkumi penghasilan, penuaian dan penjualan.

Kini dengan penyelidikan dan teknologi moden untuk pertanian semula jadi, Osulloc adalah jenama kebudayaan teh dan rumah tehnya, Osulloc Tea Stone tidak ubah seperti ruang ‘penyembuhan’ budaya di mana pengunjung boleh mencuba teh organik dihasilkan dari ladang itu.

Selain ladang teh yang terbentang luas bak saujana mata memandang itu, penulis berkesempatan merasai sendiri pengalaman mempelajari tatacara minum teh hijau di Tea Stone.

Dibuka pada 2013, ruang integrasi terletak berhampiran ladang teh Osulloc itu membolehkan pengunjung merasai gaya, rasa dan pengalaman budaya teh orang Korea Selatan.

PENULIS di ladang teh hijau organik.
PENULIS di ladang teh hijau organik.

Proses penyediaan teh hijau di negara itu memberi pengalaman berbeza buat penulis. Tidak pernah terbayang begitu tertib sekali proses penyediaannya berbanding penyediaan teh di negara kita. Ia juga mengingatkan penulis tentang budaya teh Jepun yang penuh aturan diwarisi dari zaman-berzaman.

Penyediaan teh tradisi yang dipelajari penulis lengkap dengan dulang teh, teko, mangkuk, mangkuk penyejuk, piring, sudu teh dan mangkuk buangan. Proses penyediaan teh perlu dilaksanakan perlahan-lahan dengan tatacara yang penuh hormat.

Penulis difahamkan, teh hijau tidak boleh dibancuh sekali saja, sebaliknya dibancuh dua kali agar hasilnya lebih bersih. Bancuhan pertama dibuang ke dalam mangkuk buangan yang disediakan, manakala bancuhan kedua barulah diminum.

TEH hijau istimewa dari Jeju dihidangkan kepada pelancong.
TEH hijau istimewa dari Jeju dihidangkan kepada pelancong.

Cara minumnya juga ada aturannya sendiri malah lebih unik apabila rasa teh hijau yang disediakan sangat enak dan tidak terlalu pahit.

Selepas proses penyediaan dan menikmati secawan teh hijau dibancuh sendiri, penulis dijamu pula dengan semangkuk ais krim berperisa teh hijau yang boleh penulis katakan amat enak dan lain daripada yang ada di tempat lain.

Tidak lengkap kunjungan jika tidak meluangkan masa mengunjungi Muzium Teh Osulloc yang menjadi antara tarikan wajib jika berada di Pulau Jeju.

Terletak bersebelahan Tea Stone, Muzium Teh Osulloc yang dibuka pada 2001 juga adalah muzium teh pertama di Korea Selatan bagi memperkenal dan meluaskan sejarah teh Korea dan tradisinya.

MUZIUM teh yang memaparkan pelbagai sejarah dan budaya teh Korea.
MUZIUM teh yang memaparkan pelbagai sejarah dan budaya teh Korea.

Ia berkembang menjadi muzium teh abad ke-21 yang memaparkan pelbagai ruang termasuk taman dalaman, Galeri Cawan Teh, selain memaparkan seni bina, seni dan reka bentuk menarik agar pengunjung dapat disajikan pemandangan indah di dalam dan luar muzium.

Penulis turut difahamkan ia adalah salah satu destinasi pelancongan paling popular di Jeju yang dilawati oleh 1.5 juta orang setiap tahun.

Selepas diberi penerangan mengenai sejarah teh hijau dan melihat koleksi teko, cawan dan peralatan minum teh sejak Dinasti Joseon yang dipamerkan, penulis dibawa ke dek tinjauan terletak di tingkat atas muzium.

PERALATAN untuk untuk penyediaan hidangan teh hijau.
PERALATAN untuk untuk penyediaan hidangan teh hijau.

Dari situ, pemandangan luas ladang teh dapat dilihat jelas namun cuaca agak panas ketika itu selain ruangan agak sempit agak ‘mengganggu’ dan penulis meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya, Innisfree Jeju House - jenama kosmetik yang menggunakan bahan utama daripada hasil semula jadi Pulau Jeju, termasuk teh hijau.

Kafe ini dibina untuk memelihara persekitaran semula jadi kawasan sekitar. Pengunjung boleh rasa seolah-olah mereka telah menjadi sebahagian daripada alam semula jadi semasa mencuba produk yang dibuat daripada bahan berkualiti yang dituai dari Jeju, serta makanan organik yang dibuat dengan ramuan tempatan yang segar.

Di kafe ini, pengunjung bukan saja dapat mengambil peluang membeli-belah produk jenama itu untuk dibawa pulang ke tanah air atau dijadikan cenderahati untuk keluarga dan rakan, anda juga boleh cuba membuat sendiri sabun.

Kit pembuatan sabun boleh didapati dengan harga 15,000KRW dan pengunjung boleh memilih antara bauan teh hijau, tangerin dan lumpur volkanik, dan hiasinya mengikut kreativiti masing-masing.

TIDAK lengkap kunjungan jika tidak merasai aiskrim teh hijau yang enak.
TIDAK lengkap kunjungan jika tidak merasai aiskrim teh hijau yang enak.

Jangan lupa bawa pulang produk hasil teh hijau yang popular di sini antaranya lepa susu teh hijau, bar coklat teh hijau selain aneka produk minuman teh.

Pengalaman berharga yang sukar digambarkan ketika berada di pulau ini pasti tidak dapat penulis lupakan. Penulis bercadang untuk kembali lagi ke sana satu hari nanti kerana masih banyak lagi tempat yang belum sempat diteroka.

Sejarah ladang teh itu tersingkap pada akhir 1970-an apabila pengasas Amorepacific, Suh Sungwhan membuka ladang itu dengan visi untuk memulihkan sejarah budaya teh Korea yang semakin dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:03 AM