MOHAMAD AMIRUL bersama makanan yang dijualnya
MOHAMAD AMIRUL bersama makanan yang dijualnya
Fazurawati Che Lah

Cari pengalaman awal, duit tambahan untuk beli keperluan pengajian.

Kerja sambilan yang dilakukan penuntut pusat pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta bukan lagi perkara asing.

Jika dilihat sekarang, memang ramai yang sanggup berhempas-pulas bekerja sambilan, tidak kiralah membaiki motosikal, komputer, berniaga di pasar malam, bekerja di restoran makanan segera, menjadi guru tuisyen atau apa saja, asalkan ‘masyuk.’

Itulah yang dimanfaatkan penuntut tahun ketiga Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Mohamad Amirul Shahrin, 23, yang melakukan kerja sendiri iaitu menjual makanan.

Dia yang kini berada di kampung halaman di Saratok, Sarawak menjalankan perniagaan makanan seawal jam 7 pagi.

Katanya, cuti semester selama hampir tiga bulan dimanfaatkan dengan aktiviti berniaga pelbagai jenis makanan.

“Bukan saja duit yang diperoleh, tapi pengalaman kerana ia sangat berharga. Setiap hari saya bertemu dengan pelbagai jenis pelanggan.

“Berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan menjadikan saya matang. Ini meningkatkan lagi keyakinan saya untuk berdepan dengan orang ramai,” katanya.

Katanya, pengalaman bekerja itu berupaya membantu dirinya untuk persediaan bekerja sebaik tamat pengajian.

Katanya, selain berniaga makanan, dia turut menjalankan aktiviti perniagaan lain di kampus iaitu kereta sewa dan penghantaran nasi lemak.

MOHAMAD AMIRUL ketika menyediakan masakan di gerainya di Saratok, Sarawak
MOHAMAD AMIRUL ketika menyediakan masakan di gerainya di Saratok, Sarawak

Bagi penuntut Sarjana Muda kejuruteraan Kimia, Movanniish Singh Nijar, 20, dia mengambil peluang menyertai Grab Car di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya siswa sebenarnya patut bekerja pada cuti semester untuk pengalaman kerana kini kebanyakan syarikat memandang kemahiran dimiliki berbanding keputusan peperiksaan.

“Majikan mahu pengalaman kerja walaupun baru tamat pengajian, jadi rebutlah peluang yang ada.

“Lagipun cuti semester panjang iaitu hampir tiga bulan, siswa boleh asah kemahiran dengan melakukan sebarang pekerjaan,” katanya.

Katanya, setiap hari dia akan memandu selama empat hingga lima jam dan pendapatan diperoleh sekitar RM120.

“Duit itu saya akan simpan untuk kegunaan pada semester akan datang, lagipun saya tidak membuat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi dengan duit hasil Grab dan sedikit perniagaan digunakan sebaiknya untuk menampung pengajian termasuk yuran dan kos keperluan yang lain,” katanya.

MOVANNIISH
MOVANNIISH

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:50 PM