Oleh Georgie Joseph

Gemilang dan berprestij. Malam kelmarin acara ditunggu pengikut gelombang K-Pop iaitu Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2014 akhirnya sampai ke kemuncak dan menobatkan pemenangnya. Berlangsung di AsiaWorld-Expo, Hong Kong, acara bermula jam 7.30 malam itu didahului dengan liputan karpet merah pada jam 5 petang.

Mengikuti sendiri siaran langsung acara berkenaan menerusi Internet, ternyata penangan acara itu masih tidak mampu digugat apabila ribuan penonton membanjiri lokasi acara.

Masih lagi mengekalkan prestijnya sebagai acara anugerah paling berpengaruh di sekitar Asia, malam itu pastinya meninggalkan impak tersendiri terutama buat penonton di Hong Kong sendiri.

Sudah tiga tahun berturut-turut diadakan di negara berkenaan, mereka beruntung kerana artis besar ternyata hadir memeriahkan acara itu.

Yang pasti, malam itu menjadi malam kemenangan besar buat dua artis bukan calang-calang iaitu anggota Big Bang, Taeyang dan juga kumpulan idol paling berpengaruh saat ini, EXO.

Bagaikan sudah boleh dijangka, Taeyang dan EXO yang sememangnya mendominasi beberapa kategori juga meraih undian luar biasa sejak dibuka di laman web rasmi MAMA di mama.interest.me.

Baru melancarkan albumnya berjudul RISE, kerjaya solo Taeyang terutama tahun ini nyata berhasil apabila sekejap saja lagu terbarunya Eyes, Nose, Lips meledak. Sekali gus bukan saja rakan anggotanya G-Dragon, terbukti dia juga mampu membina kukuh namanya sebagai artis solo.

Hal itu terbukti pada malam berkenaan apabila dia membawa pulang trofi Lagu Terbaik Tahun Ini Unionpay, Artis Lelaki Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik.

Begitu pun, meski EXO pula gagal membawa pulang trofi Lagu Terbaik Tahun Ini Unionpay, ternyata kumpulan itu menjadi antara paling disorak kuat malam itu. Apa lagi jika dinilai saat ini, kumpulan berkenaan sememangnya yang paling menyerlah bukan saja di Korea Selatan bahkan seluruh dunia.

Turut menang besar, kumpulan itu berjaya mengungguli kategori utama Album Terbaik Tahun Ini Unionpay menerusi Overdose di samping dinobatkan pemenang Kumpulan Lelaki Terbaik, Stail Asia Terbaik MAMA 2014 dan Artis Terbaik Tahun Ini Di Asia Unionpay.

Menjadi antara penyanyi wanita paling berpengaruh di negara berkenaan kala ini pula, IU tidak ketinggalan menyerlah apabila menang kategori Artis Wanita Terbaik dan Vokalis Paling Popular.

Juga agak menjadi perbualan, kumpulan idol wanita yang semakin gah iaitu Sistar pula mengenepikan kumpulan gergasi termasuklah 2NE1 dan Girls' Generation dengan memenangi trofi Kumpulan Wanita Terbaik.

Hangat serta penuh warna-warni, pentas MAMA tahun ini turut panas dengan persembahan bertenaga setiap penghibur pada malam berkenaan. Dihoskan aktor kacak Song Seungheon, penghibur masing-masing memang tidak mahu kalah beraksi di pentas.

Bagaimanapun, menjadi tumpuan pada malam itu dan sebenarnya persembahan paling ditunggu tentunya gandingan dua penyanyi tersohor iaitu Taeyang dan G-Dragon. Baru tampil dengan lagu Good Boy ternyata tidak sia-sia penantian penonton sebaik dua jejaka berkenaan menakluk pentas dengan pesona tersendiri.

Tidak ketinggalan, tentu sekali EXO yang terkenal dengan persembahan koreografi luar biasa sewaktu mendendangkan Black Pearl, Tell Me What Is Love, Deep Breath, serta lagu popular mereka, Overdose.

Apapun, tentu sekali turut menjadi penyeri wajib bagi MAMA, kehadiran penyanyi soul Amerika Syarikat, John Legend hakikatnya tidak kurang menyengat. Menyanyikan lagu Green Light bersama Tiffany dari Girls' Generation serta Chen (EXO), dia turut mempersembahkan lagu berhantunya, All Of Me sambil bermain piano.

Selain itu, juga memanaskan pentas, gabungan dua kumpulan iaitu Block B dan BTS yang berjaya menggamatkan pentas dengan atrian hebat mereka menerusi segmen Fight of the Century. Kala itu penonton dipukau mereka dengan rentak tari sangat luar biasa serta mengagumkan.

Turut menyerikan persembahan malam itu termasuklah WINNER, Epik High, IU, Soyou & Junggigo, Sistar, Zico, RM, INFINITE, Seotaiji, manakala antara penyampai popular yang terbabit termasuklah Andy Lau, Lee Kwang Soo, dan Song Ji Hyo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM