PEMANDANGAN matahari terbenam di Bukit Bonduk.
PEMANDANGAN matahari terbenam di Bukit Bonduk.
Muhamaad Razis Ismail


SABAH cukup terkenal sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai pakej lengkap untuk dijadikan sebagai pilihan pelancong dalam mahupun luar negara.

Selain keunikan warisan, budaya dan makanan, tidak dinafikan negeri bawah bayu itu memiliki keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara termasuk Gunung Kinabalu, Maliau Basin dan Pulau Sipadan.

Pelancong yang berkunjung ke negeri ini akan dihidangkan dengan pelbagai pilihan destinasi pelancongan yang pastinya tidak mengecewakan.

Perkara ini diakui sendiri Aiza Syazana Shamsudin yang bertugas di sebuah syarikat kejuruteraan di Sabah sejak 2018.

Katanya, negeri itu mempunyai banyak lokasi menarik yang menjanjikan pengalaman melancong yang luar biasa.

"Di sini saya banyak melakukan banyak aktiviti rekreasi di lokasi menarik termasuk mendaki Gunung Kinabalu, menyelam di Pulau Sipadan dan meneroka Maliau Basin.

"Pada masa sama, saya tertarik dengan lokasi matahari terbenam di negeri ini. Ada yang terletak di kawasan berbukit, pantai dan taman. Yang pasti semua lokasi ini menjanjikan pengalaman matahari terbenam yang mengagumkan" katanya.

Aiza berkongsi enam lokasi menarik untuk menikmati matahari terbenam sepanjang enam tahun dia menetap di Sabah untuk dijadikan sebagai panduan kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

PENDAKIAN berbaloi ke Bukit Bonduk apabila dihidangkan pemandangan matahari terbenam yang mengagumkan.
PENDAKIAN berbaloi ke Bukit Bonduk apabila dihidangkan pemandangan matahari terbenam yang mengagumkan.

1. Pantai Tanjung Aru

Lokasi matahari terbenam ini paling terkenal di sini dan ramai pelancong berkunjung ke sini. Ia terletak 4.6 kilometer dari bandar Kota Kinabalu membabitkan perjalanan kira-kira 12 minit. Di sini banyak kedai makanan dan restoran yang menghadap pantai. Anda boleh berehat dan menikmati makanan sambil dihidangkan dengan pemandangan matahari terbenam.

2. Bukit Kokol

Lokasi ini terletak di kawasan tanah tinggi dan

dikategorikan sebagai 'view point' tercantik di Sabah. Selain matahari terbenam, anda boleh melihat seluruh Kota Kinabalu. Dari bandar Kota Kinabalu, anda perlu menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer. Di sini terdapat beberapa tempat persinggahan dan peranginan yang menarik yang menghadap matahari terbenam seperti Kokol Haven, Kokol Hill Elf, Kokol Farmstay dan sebagainya.

SAMBIL beriadah, anda bersama keluarga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di Taman awam Teluk Likas.
SAMBIL beriadah, anda bersama keluarga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di Taman awam Teluk Likas.

3. Rooftop Hotel Le Meridien

Di Kota Kinabalu cukup terkenal dengan restoran yang terletak di 'rooftop.' Bagi anda yang ingin melihat pemandangan matahari terbit sambil menikmati makanan dan dihiburkan dengan pemuzik, anda boleh ke hotel ini. Lokasi hotel terletak berhadapan dengan Pasar Filipina dan menjadi menjadi tumpuan pelancong.

4. Taman awam Teluk Likas

Taman ini menjadi kawasan dan tempat riadah untuk penduduk menjalankan pelbagai aktiviti seperti berjoging dan berbasikal. Lokasi ini terletak 7.2 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Di samping beriadah, anda bersama keluarga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di pantai.

5. Bukit Bonduk

Bukit Bonduk juga dikenali sebagai Bukit Botak atau Bukit Gundul di Sepanggar. Untuk ke puncak bukit, anda perlu mendaki selama 20 hingga 30 minit. Di sini anda akan dihidangkan dengan pemandangan matahari terbit, matahari terbenam dan Gunung Kinabalu.

6. Pantai Tuaran

Pantai ini agak terpencil dan agak jauh dari bandar Kota Kinabalu. Untuk ke sini anda perlu menempuh perjalanan sejauh 42 kilometer. Lokasi ini sesuai bagi mereka yang inginkan privasi dan tidak ramai orang. Bagi mereka yang inginkan kelainan, di sini juga terdapat banyak pakej pelayaran matahari terbenam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 6:30 AM