MOHAMED Khaled (tengah) hadir pada Sambutan Hari Raya Mubarak Johor dan Veteran Umno Johor di Pejabat Perhubungan Umno Johor. FOTO Omar Ahmad
MOHAMED Khaled (tengah) hadir pada Sambutan Hari Raya Mubarak Johor dan Veteran Umno Johor di Pejabat Perhubungan Umno Johor. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Umno mengakui pengundi tegar parti itu semakin mengecil berikutan pertambahan pengundi baru hampir setiap enam bulan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengundi baru itu adalah golongan yang tidak berparti namun mempunyai pengaruh yang besar dalam pengundian.

Katanya justeru itu, Umno perlu memastikan pendekatan sesuai digunakan agar kehadiran parti itu dirasai golongan terbabit.

"Bukan macam dulu, pengundi tegar kita makin mengecil, demografi tunjukkan 60 peratus adalah pengundi muda dalam setiap kawasan.

"Contohnya seperti situasi di Pasir Gudang, ahli Umno ada 20,000 tetapi pengundi ada 200,000 dan akan datang jumlah ini akan naik 250,000, tetapi ahli Umno masih 20,000. Jumlah itu jadi semakin mengecil.

"Sekarang ramai yang tidak berparti tetapi mereka sokong perkara yang boleh mendatangkan manfaat.

"Parti kena pastikan keterlihatan dan kehadiran dirasai, sebab itu mereka kena fikir pendekatan yang sesuai untuk mereka, menarik dengan pengisian dan pendirian parti mesti jadi tarikan pada pengundi ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor dan Veteran Umno Johor di Pejabat Perhubungan Umno Johor di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohammed Khaled yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Tinggi merumuskan tiada parti dalam negara ini yang mampu bergerak secara sendirian selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, Barisan Nasional (BN) sejak dulu sudah mewujudkan pelbagai parti gabungan.

"Begitu juga PKR, DAP, tubuh Pakatan Harapan (PH) mereka tidak boleh bergerak sendiri.

"Hendak bertanding dalam PRU sendiri boleh tapi tidak boleh tubuhkan kerajaan sendirian, sebab demografi negara kita dari segi komposisi rakyat dapati bahawa banyak kepelbagaian, tiada majoriti mutlak bagi mana-mana kaum dalam pilihan raya.

"Dalam konteks politik hari ini tidak mungkin ada parti boleh bergerak secara solo. Asas itu kena fikir dengan siapa kita kena kerjasama dan pastikan Umno, BN terus wujud pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 11:08 AM