DARI kiri Yong, Sim, Dr Aishah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah  Yayasan IJN Datin Julini Mohd Ali.
DARI kiri Yong, Sim, Dr Aishah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IJN Datin Julini Mohd Ali.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Penyakit kardiovaskular (CVD) kekal menjadi salah satu penyakit kronik paling berbahaya di negara maju dan membangun. Di peringkat global, pada 2008 dianggarkan 17.3 juta orang meninggal dunia disebabkan penyakit ini saja.

Menjelang 2030, angka itu dijangka meningkat kepada 23.6 juta setahun. Walaupun kes CVD menurun di negara maju, trend itu bagaimanapun terus meningkat di negara memba­ngun.

Pada 2010, sebanyak 25.4 peratus (11,812) kematian dicatatkan di hospital kerajaan akibat CVD. Ia juga dianggap sebagai punca utama kematian pramatang, dengan hampir 35 peratus kematian akibat CVD berlaku pada individu ber­usia bawah 60 tahun.

Penyakit ini dijangka menjadi satu kebimbangan utama dalam kalangan negara membangun sewaktu transisinya ke arah mencapai status negara maju. Transisi itu mungkin memberi impak besar kepada aspek kesihatan mereka daripada kumpulan sosioekonomi rendah.

Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara membangun dengan lebih 8,000 pesakit jantung baru dilaporkan setiap hari. Ia merangkumi 35 peratus kematian dalam kalangan individu berusia bawah 60 tahun.

Menyedari perlunya kesedaran dan pendidikan mengenai CVD serta bantuan kewangan untuk pesakit yang tidak berkemampuan, Antabax, jenama penjagaan kebersihan diri bekerjasama dengan 99 Speedmart, dalam satu kempen mengumpul dana untuk membantu Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Yayasan IJN adalah organisasi tidak berasaskan keuntungan dengan misi memberi sokongan kewangan kepada IJN untuk menampung kos rawatan pesakit berpendapatan rendah. Tahun ini, Yayasan IJN menyambut ulang tahun yang ke-20.

Kempen mengumpul dana kebajikan Have A Heart, Save A Life bersama Antabax & 99 Speedmart bermula pada 1 September lalu dan akan berlangsung sehingga 30 November ini. Sebanyak lima peratus daripada hasil jualan sebarang rangkaian produk penjagaan diri antibakteria daripada cawangan 99 Speed­mart di seluruh negara akan disalurkan ke Yayasan IJN untuk menyokong program bantuan pesakit mereka.

Antabax yang mengadakan pelbagai kempen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) mahu menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia. Sejak kempen CSR pertamanya pada 2009, Antabax menyumbang lebih RM1 juta dalam bentuk tunai dan produk kepada pelbagai organisasi.

Menurut Pengurus Produk Kumpulan, Isi Rumah & Penjagaan Diri, Bahagian Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd Angeline Sim, peningkatan kos sara hidup turut memberi impak kepada kos rawatan jantung. Pesakit berpendapatan rendah sering berdepan masalah untuk membayar rawatan yang biasanya mampu menyelamatkan nyawa mereka.

“Walaupun dana yang kami kumpul menerusi kolaborasi ini mungkin tidak cukup untuk membantu semua orang, namun jika ia dapat meringankan beban seorang pesakit, bagi kami itu satu pencapaian,” katanya.

Tambahnya lagi, langkah pertama yang perlu diambil orang ramai adalah dari segi pendidikan dan kesedaran mengenai pe­nyakit jantung serta faktor risikonya.

“Secara teknikalnya, semua orang tahu kita memerlukan makanan sihat, bersenam, mendapat cukup tidur dan mengelak perkara yang boleh memberi tekanan dalam hidup. Tetapi dengan kesibukan harian, mencari masa untuk kekal sihat bukan mudah. Bagaimanapun, kita perlu mengulang mesej ini sehinggalah ia difahami sepenuhnya,” kata Sim.

Pengarah Sistem Pengurus Maklumat, 99 SpeedMart Sdn Bhd Simon Yong Kin Onn berkata, pengarah urusan syarikat itu, Lee Thiam Wah pernah diserang polio ketika ber­usia lapan bulan.

“Ibu dan bapanya bukanlah daripada keluarga kaya. Bapanya buruh binaan dan ibu pula penjaja, tetapi mereka tidak mengabaikannya. Sebaliknya, menyediakan apa yang mereka mampu untuk membolehkannya Thiam Wah menjadi yang terbaik.

“Saya faham perasaan kanak-kanak yang mengalami masalah jantung yang serius kerana mereka juga mempunyai potensi besar seperti anda dan saya. Kita perlu bekerjasama memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan yang panjang dan penuh bermakna. Jadi, mereka boleh meneroka laluan hidup yang belum ditempuh untuk menjadi pemimpin, doktor dan pemikir pada masa depan,” katanya.

Di atas sebab inilah 99 Speedmart berbesar hati bekerjasama dengan Antabax. Sebagai satu jenama kegemaran rakyat Malaysia 99 Speedmart banyak memberi sumbangan kepada masyarakat menerusi kempen CSR mereka selama ini.

Bagi menjayakan bantuan kepada masyarakat, Yayasan IJN membelanjakan lebih RM4 juta setiap tahun menerusi Program Bantuan Pesakit. Ini turut dijelaskan oleh Pengerusi Yayasan IJN Datuk Seri Dr Aishah Ong, yang memberitahu Yayasan IJN sangat bergantung kepada sokongan daripada penderma untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Kami berharap lebih banyak syarikat korporat akan mengikut usaha murni Antabax dan 99 Speedmart ini. Kempen ini membantu yayasan untuk meneruskan misi membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Sejak Yayasan IJN ditubuhkan pada 1995 dan sehingga Ogos 2015, Program Bantuan Pesakit Yayasan IJN sudah memberikan pertolongan kepada lebih 1,000 pesakit jantung yang memerlukan dan membelanjakan lebih RM20 juta.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk setiap pesakit. Kebanyakan dana yang diterima datang daripada pihak koporat dan penderma individu. Memandangkan penyakit kardiovaskular adalah di antara punca kematian utama di Malaysia, dana sebegini amat penting untuk membantu lebih ramai pesakit kerana ia mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa pada masa depan,” jelasnya.

Menerusi kerjasama ini Antabax juga akan memberikan kit penjagaan diri kepada semua pesakit Institut Jantung Negara selama tiga bulan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen Have A Heart, Save A Life Bersama Antabax & 99 Speedmart boleh melayari laman web www.facebook/NewAntabax.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:01 AM