Kuala Lumpur: Tiga pemain negara mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Peru namun pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei terkandas pada pusingan ketiga semalam.

June Wei yang diletakkan pilihan kedua kejohanan tumpas di tangan perseorangan Jepun Koki Watanabe 21-15, 17-21, 12-21.

Bagaimanapun, skuad negara masih mempunyai wakil dalam aksi suku akhir perseorangan lelaki apabila R Satheishtharan memenangi aksi pusingan keempat dengan mengalahkan Kenya Mitsuhashi 21-7, 21-14.

Pemain pilihan ke-10 itu akan bertemu Siril Verma dari India yang sebelum itu mengejutkan jaguh Denmark Anders Antonsen (pilihan ketiga) selepas menang 21-12, 18-21, 21-15 dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam.

Turut mara ke suku akhir perseorangan wanita, Goh Jin Wei (gambar) apabila memperoleh kemenangan percuma selepas Mia Blichfeldt dari Denmark menarik diri kerana keracunan makanan.

Menanti Jin Wei di suku akhir hari ini pemain China Chen Yufei yang sebelum itu mencatat kemenangan 21-14, 21-18 ketika bertemu Pompawee Chochwong dari Thailand.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying turut melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan pemain Sepanyol Clara Azurmendi 21-16, 21-11.

Ying Ying akan bertemu Julie Dawall Jakobsen dari Denmark yang sebelum itu mendapat kemenangan percuma selepas pemain China Li Yun menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:08 AM