JUN HAO atasi cabaran HS Prannoy.
JUN HAO atasi cabaran HS Prannoy.
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton lelaki negara berjaya muncul juara Kumpulan B selepas menumpaskan India 4-1 dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina. Kedua-dua pasukan yang sudah menempah slot ke suku akhir, bertarung untuk mencari status juara kumpulan seterusnya diletak sebagai pasukan pilihan dalam undian suku akhir.

Malaysia memperoleh mata pertama selepas perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah menumpaskan B Sai Praneeth 21-18, 21-15.

Mata kedua pula diraih beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas mereka mengenepikan gandingan bidan terjun, MR Arjun-Chirag Shetty 21-18, 21-15.

Hasrat Malaysia untuk meraikan kemenangan awal terbantut selepas Cheam June Wei tumpas di tangan pemain berpengalaman, K Srikanth 21-14, 16-21, 19-21.

Bagaimanapun, skuad negara mengesahkan kemenangan melalui pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan gandingan Dhruv Kapila-Lakshya Sen 21-14, 21-14. Mata keempat negara diraih perseorangan ketiga, Leong Jun Hao apabila mengalahkan HS Prannoy 21-10, 21-15.

Dalam perlawanan suku akhir esok, Malaysia diundi bertemu Korea Selatan, naib juara Kumpulan A. Skuad wanita yang tumpas 2-3 kepada Jepun dalam aksi Kumpulan W pula diundi menentang Taiwan (juara Kumpulan Z) pada aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:16 PM