JIN WEI capai sasaran ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia.
JIN WEI capai sasaran ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia.

Kuala Lumpur: Capai sasaran tetapi belum puas. Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Peru apabila menumpaskan Chen Yufei dari China dalam aksi suku akhir semalam.

Bagaimanapun, pemain berusia 15 tahun itu mengakui walaupun dia berjaya untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang sebutir pingat tetapi dia mula membayangkan kejayaan lebih besar.

Dalam aksi awal pagi semalam, Jin Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan mengambil masa 49 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada Yufei selepas menang straight set 21-19, 22-20.

Menanti Jin Wei di separuh akhir ialah Moe Araki dari Jepun yang sebelum itu mencatat kemenangan ke atas Gao Fangjie (China) 21-16, 21-18.

“Dalam aksi hari ini (semalam) saya cuba untuk menenangkan diri ketika memungut mata, termasuk beberapa permainan di jaring yang menjadi,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas itu berkata, dia berasa gembira kerana sekurang-kurangnya sudah menghadiahkan pingat gangsa kepada negara tetapi perjuangannya masih belum berakhir.

“Saya tidak akan berasa puas jika setakat mara ke separuh akhir. Saya masih mempunyai keghairahan untuk mara ke perlawanan akhir,” katanya yang mengakui masih belum pernah bertemu Araki sebelum ini.

Lebih manis lagi, kejayaan Jin Wei menjadi inspirasi buat rakan senegara, Lee Ying Ying yang mengalahkan perseorangan wanita Denmark, Julie Dawall Jakobsen 19-21, 21-13, 21-10 untuk mara ke separuh akhir.

Sama seperti Jin Wei, Ying Ying juga akan berdepan wakil Jepun untuk aksi separuh akhir hari ini apabila menentang pilihan ke-11, Natsuki Nidaira.

Nidaira sebelum itu mengejutkan pilihan pertama dari China, He Bingjiao apabila mencatat kemenangan 12-21, 21-13, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam satu minit.

Hasrat untuk melihat perseorangan lelaki, R Satheishtharan mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila dia kalah 15-21, 14-21 kepada Siril Verma dari India.

Kali terakhir pemain Malaysia berjaya mara sehingga ke separuh akhir ialah melalui pasangan beregu wanita, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:13 AM