JIN Wei diberi ucapan tahniah oleh Beiwen. FOTO Fathil Asri
JIN Wei diberi ucapan tahniah oleh Beiwen. FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Setiap pukulan harus menghasilkan mata, itulah tekad pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei menjelang pusingan kedua Masters Malaysia di Axiata Arena esok.

Sedar ia bukanlah perlawanan mudah, namun Jin Wei berazam mampu menampilkan aksi terbaiknya apabila berdepan jaguh dari Taiwan, Tai Tzu Ying.

Bekas perseorangan nombor satu negara itu, berazam meloloskan diri ke suku akhir dan berharap peminat di Arena Axiata akan berada di belakangnya sepanjang perlawanan bagi membantu dia melakar kejutan dengan menyingkirkan Tzu Ying.

"Aksi menentang Tzu Ying esok, saya akan cuba untuk memastikan setiap pukulan menghasilkan mata. Saya juga sedia menampilkan permainan terbaik dan cuba untuk menewaskannya.

"Kami pernah bertemu sebelum ini tetapi saya akan cuba berikan tekanan kepada Tzu Ying. Saya harap semua penyokong akan memberi sokongan selain mahu belajar sesuatu daripadanya," kata Jin Wei selepas tamat perlawanan hari ini.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain pernah bertemu sebelum ini di Terbuka Malaysia 2018 dengan keputusan memihak kepada Tzu Ying menerusi kemenangan 21-15, 21-15.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung hari ini, Jin Wei dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Zhang Beiwen 21-19, 21-18.

Bagaimanapun, perseorangan lelaki profesional, Liew Daren gagal untuk mengikut jejak langkah Jin Wei ke pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan kelapan dari Hong Kong, Ng Ka Long 17-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 10:01 PM