MENGENAKAN topi keledar wajib sebagai langkah keselamatan.
MENGENAKAN topi keledar wajib sebagai langkah keselamatan.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Bunyi deruman go-kart 200cc memenuhi ruang legar bangunan bekas kilang kini dijadikan trek go-kart tertutup di Semenyih. Litar berkenaan adalah trek go-kart tertutup terbesar di Asia sepanjang 350 meter menjadi lokasi pertandingan Superkart Super Series 1.

Dalam perlumbaan ini, peserta perlu mengumpul sebanyak mungkin pusingan dalam masa ditetapkan selain perlu memandu semua enam go-kart. Selepas selesai, barulah purata kutipan masa terbaik dinilai bagi menentukan pemenang.

Peserta termuda Adlil Aiman Awaludin, 18, berkata meskipun kali pertama menyertai kejohanan go-kart dalam litar tertutup, dia tidak gementar untuk ber­saing dengan pelumba berpengalaman.

“Saya tidak pernah memandu go-kart melalui trek dalam bangunan. Perasaan amat berbeza kerana sebelum ini saya hanya memandu sekadar mengisi masa di trek terbuka Shah Alam.

“Yang mencabarnya ia sempit dan perlu berhati-hati mengambil selekoh terutama dua bahagian mempunyai pusingan berbentuk S. Satu saya pelajari dalam trek ini perlu ada perasaan timbang rasa.

“Meskipun masing-masing mahu mencatat masa terpantas tetapi peraturan dalam pertandingan peserta mesti beri laluan kepada pemandu yang lebih pantas.

“Ia pengalaman cukup berharga buat saya yang kali pertama menyertai perlumbaan masa ini. Terutama rata-rata peserta adalah pelumba ‘otai’ yang berpengalaman dalam pertandingan, ini peluang keemasan menimba tip daripada mereka,” katanya.

Berasal dari Kuantan, Pahang, meskipun tidak membuat sebarang persiapan, Adlil berpuas hati dengan dengan prestasi ketika itu.

“Catatan masa pelumba baru seperti saya dikira memuaskan. Berbanding dengan pelumba pada hari terbabit, catatan masa saya tidak jauh beza.

“Pemanduan saya bertambah baik dari semasa ke semasa. Masuk pemanduan ketiga, masa dicatat bertambah pantas. Lihat potensi dan maklum balas daripada senior mengatakan saya boleh pergi jauh, saya lebih bersemangat untuk menyertai perlumbaan akan datang,” katanya.

Bagi pelumba dari Kuala Lumpur, Mohd Syamsul Razmin, 30, trek dalam bangunan benar-benar menguji kemahiran pemanduan.

Katanya, pelumba perlu konsisten dan tidak boleh drift kerana semua bergantung kepada disiplin.

“Jadi perlu fokus dalam trek dan perlu lihat kesilapan pelumba lain yang mana memberi kelebihan kepada kita.

“Selain memandu sepantas yang boleh, aspek keselamatan jangan lupa. Peraturan perlu dipatuhi kerana menjamin keselamatan pemanduan.

“Dalam masa sama jangan lupa mengenakan topi keledar dan kasut kerana itu antara pakaian wajib mengurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Mengenai impiannya dalam sukan ini, dia berharap dapat menyertai Rotax Max Challenges World Wide.

“Saya mahu beraksi untuk perlumbaan berkelas dunia. Rotax Max antara yang saya ingin sertai kerana ia mengumpul semua pelumba terbaik serata dunia,” katanya.

Penaja lokasi Superkart Indoor Karting Micheal Ang berkata, acara ini anjuran bersama rakannya, Roger Chew selaku Presiden Pertubuhan Motorsports Malaysia (my-KART.Org) untuk mencungkil lebih ramai pelumba berbakat untuk beraksi pada tahap seterusnya.

“Ini acara terbuka dan siri ini ialah perlumbaan pertama untuk tahun ini. Kita akan menganjurkan beberapa siri perlumbaan agar lebih ramai pemandu baru dapat berlumba pada tahap lebih profesional.

“Lihat saja potensi pelumba pada hari ini. Daripada segi catatan masa mereka berada dalam kelas terbaik selain kemahiran mengendalikan kereta sangat cekap tidak mustahil mereka boleh naik kelas lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Chew berkata, perlumbaan bersiri bermula dengan pemanduan dalam trek tertutup dilihat melahirkan pemandu versatil.

“Pemanduan dalam litar tertutup sebenarnya cukup berbeza dengan trek terbuka. Mereka boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk trek termasuklah teknik pemanduan.

“Tambah pula dengan penyertaan kali ini cukup menggalakkan dan mengumpulkan pelbagai latar belakang iaitu pelumba baru dan berpengalaman dalam satu pertandingan, satu platform baik.

“Kita berharap dengan beberapa siri perlumbaan kita aturkan sepanjang tahun dapat melahirkan lebih ramai pelumba berbakat selain memberi atmosfera perlumbaan yang selamat dan sihat bagi peminat sukan bermotor tempatan,”katanya.

PROFIL:

NAMA: Roger Chew

UMUR: 35 tahun

ASAL: Kajang Selangor

PERANAN: Presiden my-KART.Org

NAMA: Mohd Syamsul Razmin

UMUR: 30 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

PERANAN: Pelumba

NAMA: Micheal Ang

UMUR: 36 tahun

ASAL: Cheras

PERANAN: Wakil Superkart Indoor Karting

NAMA: Adlil Aiman Awaludin

UMUR: 18 tahun

ASAL: Kuantan Pahang

PERANAN: Pelumba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:02 AM