SUSIE muncul pemandu wanita pertama dalam tempoh 22 tahun terbabit perlumbaan F1.
SUSIE muncul pemandu wanita pertama dalam tempoh 22 tahun terbabit perlumbaan F1.
AFP

Paris: Pemandu uji Williams, Susie Wolff akan memandu pada sesi latihan tiga perlumbaan Grand Prix musim ini, umum pasukan Formula Satu itu semalam.

Pemandu Scotland berusia 32 tahun itu sudah melengkapkan 86 pusingan dengan memandu jentera baru Williams Mercedes FW37 ketika ujian pramusim di Litar Catalunya, bulan lalu.

Saingan musim ini bermula dengan Grand Prix Australia pada 15 Mac ini.

Susie akan mengambil bahagian pada sesi latihan pada GP Sepanyol, Austria dan British di Silverstone.

Pada 2014, dia muncul pemandu pertama wanita dalam tempoh 22 tahun terbabit dengan perlumbaan hujung minggu F1 pada Grand Prix British di Silverstone.

“Fokus kami tahun ini adalah meneruskan kejayaan 2014,” kata Susie dalam laman web Williams selepas pasukan itu berakhir di tangga ketiga kejuaraan pengeluar musim lalu.

“Saya sudah berlatih dengan gigih sepanjang musim sejuk dan secara fizikal saya berada pada tahap terbaik. Saya bersedia menghadapi musim ini.

“Sebagai pemandu uji rasmi, saya mempunyai masa lebih dengan jentera FW37 dan dengan tugas dalam simulator, pasukan ini boleh memastikan kami mendapat yang terbaik daripada jentera,” jelas Susie yang berlumba dalam British F3, British Formula Renault dan terbaru DTM, siri Touring Car Jerman hingga 2012 sebelum menyertai Williams.

“Kami pemandu Williams memberi kerjasama sebaik mungkin dan sedia memberikan apa saja yang termampu bagi musim 2015.”

Pasukan Williams mempunyai kekuatan sentuhan wanita dengan Claire Williams, anak perempuan pengasas pasukan Sir Frank, sebagai prinsipal pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:24 AM