Mohd Ridzuan yang dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan 78 sebatan diiringi anggota polis. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Ridzuan yang dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan 78 sebatan diiringi anggota polis. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Penganggur dipenjara 27 tahun dan 78 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas satu pertuduhan menyamar sebagai Setiausaha Khas di Pejabat Perdana Menteri serta 78 pertuduhan menipu dalam projek ternakan dan tanaman di bawah geran projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), sejak dua tahun lalu.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Ridzuan Alias, 34, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding selama sejam itu.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai Setiausaha Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi 78 pertuduhan lain, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya dua mangsa untuk meluluskan projek tanaman ubi kayu dan projek tapak kolam udang di bawah geran projek MOA yang membabitkan kerugian RM535,448.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, 20 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:25 PM