TERTUDUH (kiri) dihukum penjara satu tahun. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
TERTUDUH (kiri) dihukum penjara satu tahun. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Suri rumah dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan memperdaya dua wanita berhubung bantuan Pergerakan Puteri UMNO membabitkan RM1,500 pada 11 Disember 2015.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noor Hafizah Md Yusoff, 28, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada empat orang anak itu didakwa memperdaya Roliah Ahmad supaya menyerahkan wang tunai RM200 sebagai kos membuka akaun bagi mendapatkan bantuan Pergerakan Puteri UMNO yang ditawarkannya sedangkan mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tahu diperdaya oleh tertuduh.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdaya Hamidah A Hamid supaya menyerahkan RM1,300 melalui kad ATM sebagai alasan membuat semakan bagi tujuan penyaluran bantuan Pergerakan Puteri UMNO yang ditawarkannya sedangkan mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tahu diperdaya oleh tertuduh.

Bagi perbuatan yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun untuk setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 3:09 PM