Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak akan memberi sebarang komen lanjut mengenai status Datuk Lee Chong Wei sehingga Panel Pendengar Doping pihak mereka bermesyuarat dan membuat kesimpulan mengenai hukuman penggantungan yang akan dikenakan terhadap pemain nombor satu dunia itu.

Semalam, BWF secara rasmi mengumumkan bahawa Chong Wei dikenakan penggantungan sementara selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Penggantungan ini dikenakan berikutan terdapat penggunaan bahan terlarang terhadap sampel ujian doping Chong Wei di Kejohanan Dunia. BWF membawa perkara ini kepada Panel Pendengar Doping BWF yang akan menetapkan masa, tarikh dan tempat untuk mengadakan majlis itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, panel berkenaan akan membuat keputusan sama ada atlet berkenaan didapati bersalah menggunakan bahan terlarang.

“Berdasarkan Klausa 14.4.1 Peraturan Anti-Doping BWF dan penggantungan sementara, BWF dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekarang ini boleh mendedahkan identiti pemai terbabit dalam isu berkenaan secara umum.

“Penggantungan Sementara (Klausa 7.6.2) bermakna atlet berkenaan tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan sehingga Panel Pendengar Doping BWF bersidang,” katanya.

Ujian sampel B Chong Weg diuji di Hospital Universiti Oslo, Norway Rabu lalu dan BAM secara rasmi mengumumkan pemain itu positif menggunakan bahan terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:19 AM