Bangkok: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yakin namanya akan dibersihkan selepas digantung sementara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana gagal ujian doping.

Bercakap dengan wartawan di Bangkok semalam, Chong Wei berkata, dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan akan menunggu Panel Pendengaran BWF bulan depan.

“Saya yakin dalam kes ini saya tidak bersalah. Saya perlu terus tabah. Semua orang memberikan kata-kata semangat kepada saya. Saya hanya menunggu untuk mendapatkan keputusan positif bulan depan,” katanya kepada wartawan dalam sidang media menjelang satu perlawanan pertunjukan di Thailand.

Chong Wei yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London),bakal berdepan hukuman digantung selama dua tahun jika rayuannya gagal.

Pemain negara itu juga akan dilucutkan pingat perak dimenanginya pada Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen, iaitu lokasi dia gagal ujian doping.

Awal bulan ini BWF berkata, badan induk badminton dunia itu mengenakan penggantungan sementara kepada Chong Wei kerana mendapati ujian doping yang dijalankan ke atasnya di Copenhagen positif.

Chong Wei yang memenangi 55 kejuaraan peringkat antarabangsa dan pingat perak Olimpik, adalah ikon sukan di Malaysia, namun sampel ujian doping yang diambil di kejohanan dunia itu terkandung bahan terlarang dexamethasone.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:15 AM