SAFEE (kiri) diasak pemain Qadsia SC pada pertemuan separuh akhir pertama.
SAFEE (kiri) diasak pemain Qadsia SC pada pertemuan separuh akhir pertama.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kejayaan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mara ke pentas final Piala AFC seharusnya membuka mata banyak pihak terutama kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain kelab dan persatuan negeri (FA) untuk menguruskan sesebuah pasukan dengan cemerlang.

Menurut bekas pemain kebangsaan Khalid Ali, Johor DT harus dijadikan contoh terbaik dan ia dibuktikan dengan kemampuan skuad Mario Gomez itu menggegar peringkat Asia.

Katanya, sudah tentu kejayaan skuad Harimau Selatan itu bukannya hadir dengan mudah sebaliknya muncul ketika pasukan itu ditadbir urus menerusi sistem yang efisyen dan terkini.

“Ia sejarah cukup bermakna buat seluruh rakyat dan penyokong Johor DT apabila berjaya mara pertama kali ke perlawanan akhir musim ini.

“Lagipun, mereka (Johor DT) sememangnya layak ke final. Sejak Tengku Mahkota Johor memimpin pasukan itu, baginda sudah melakukan yang terbaik dengan memberi sepenuh sokongan tanpa mengenal erti putus asa semata-mata untuk kebaikan bola sepak Johor dan negara amnya.

“Saya harap pemain akan gunakan peluang di final nanti untuk cipta kemenangan, walaupun diakui lawan yang bakal ditentang bukannya calang-calang pasukan.

“Namun dalam bola sepak apa pun boleh berlaku, asalkan pemain fokus dan beri 100 peratus dalam perlawanan itu. Insya Allah satu lagi kejutan boleh terjadi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menggantung Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) kelmarin, sekali gus menyaksikan semua pasukan dari negara itu termasuk Qadsia SC tidak dibenarkan bermain di kejohanan antarabangsa.

Selang beberapa jam selepas keputusan FIFA itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Johor DT mara ke final bertemu FC Istiklol di Dushanbe, 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 10:31 AM