AIDIL (kanan) diganding semula dengan Antonio.
AIDIL (kanan) diganding semula dengan Antonio.

Dushanbe, Tajikistan: Jika sebelum ini tonggak pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abdul Radzak sering diletakkan di posisi pertahanan kanan, kini semuanya tampak berbeza apabila kembali beraksi di tempat kegemarannya - bek tengah.

Mengakui agak gembira dapat bergandingan semula dengan Marcos Antonio di bahagian itu sejak di bawah bimbingan Mario Gomez pada pertengahan musim ini, pemain berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu turut menyifatkan corak permainannya juga semakin meningkat.

Justeru, menurut Aidil, dia bertekad membalas kepercayaan diberikan jurulatih dengan memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan pada perlawanan akhir itu esok.

“Sebagai profesional, kita tidak boleh bergantung hanya pada satu posisi. Walaupun sebelum ini diletakkan di bahagian pertahanan kanan, saya tidak kisah asalkan pasukan menang.

“Tapi, saya akui lebih selesa jika diletakkan di bahagian tengah,” katanya ketika ditemui sejurus tamat latihan di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai jentera serangan lawan, Aidil mengakui FC Istiklol mempunyai rangkaian penyerang ampuh, namun dia percaya mereka sudah bersedia untuk menyekat pergerakan tuan rumah.

“Kami sudah melihat rakaman video aksi mereka sebelum ini dan tahu serba sedikit mengenai kekuatan dan kelemahan Istiklol. Kami juga tahu pemain mana yang perlu diawasi.

“Mereka memang bagus dan kami perlu berwaspada dengan kelajuan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:27 AM